Pusat Aktiviti Warga Emas Ampang Kini Dibuka, Fokus Kesihatan & Sosial

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE ) oleh YB Anfaal Saari EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor di Dewan Kampung Melayu Tambahan, Ampang Selangor. Ahad, 23hb Februari 2025. (Foto: Pejabat EXCO)

Ampang, 23 Februari 2025 – YB Anfaal Saari, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, telah merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Ampang dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Kampung Melayu Tambahan Ampang semalam.

Pusat ini merupakan inisiatif kerajaan MADANI bagi memastikan golongan warga emas dapat menikmati penuaan yang bermaruah dengan kehidupan yang sihat, bahagia, dan berkualiti. PAWE Ampang diwujudkan untuk menangani isu isolasi sosial yang sering dihadapi warga emas, yang berisiko membawa kepada masalah kesihatan seperti kemurungan dan demensia.

Pelbagai program telah dirangka untuk PAWE Ampang, termasuk aktiviti riadah dan senaman bagi menjaga kesihatan fizikal, bengkel kemahiran dan kelas pembelajaran untuk memperkasa warga emas dengan ilmu dan kemahiran baharu termasuk ceramah kesihatan serta pemeriksaan berkala untuk meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan. Sesi kaunseling dan sokongan psikososial bagi kesejahteraan mental dan emosi, serta program interaksi antara generasi untuk mengeratkan hubungan warga emas dengan generasi muda.

Menurut YB Anfaal Saari, kejayaan pembukaan PAWE Ampang adalah hasil usaha bersama antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), serta masyarakat setempat. Pusat ini diharapkan dapat menjadi platform terbaik dalam memastikan warga emas terus aktif dan sejahtera dalam komuniti mereka.

Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh YB Puan Hajah Rodziah binti Ismail, Ahli Parlimen Ampang, YB Tuan Mohd Kamri bin Kamaruddin, ADN Bukit Antarabangsa, Tuan Haji Azmir bin Kassim, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Tuan Ts Hj Hasrolnizam bin Shaari, Setiausaha merangkap Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, serta Puan Salwa binti Yunus, Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas Ampang.

Dengan tertubuhnya PAWE Ampang, diharapkan lebih banyak warga emas dapat menikmati kehidupan yang lebih aktif, sihat, dan bermakna dalam komuniti mereka.