Tun M akan bagi semua duit kepada orang miskin kalau Anwar buat ini untuknya

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan menyerahkan kesemua duit berbilion ringgit yang didakwa disakau olehnya kepada orang miskin.

Tetapi kata beliau, Anwar perlu memberi tahu di mana duit tersebut kerana beliau sendiri tidak tahu keberadaan wang itu.

“Anwar menggesa supaya saya guna kekayaan saya untuk menolong orang Melayu yang miskin.

“Mungkin Anwar tahu di mana duit berbilion ini ada. Saya tidak tahu. Anwar boleh bagi maklumat di mana berada duit yang saya sakau ini dan saya akan beri semua 100% kepada orang miskin.

“Ini ikrar saya dan saya sanggup jamin yang saya akan tunai janji saya. Jika tidak, Anwar bila buka mulut, bohong,” katanya di X hari ini.

Mahathir berkata, sehingga kini Datuk Seri Anwar Ibrahim masih cuba menggambarkan anak beliau sebagai billionaire kerana memiliki aset berjumlah RM1.2 bilion.

Beliau mendakwa angka tersebut tidak betul kerana RM1.2 bilion adalah aset keseluruhan untuk dua anaknya Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Mirzan Mahathir.

Dakwanya, RM1.2 billion ini tidak sama dengan harta kekayaan dua anaknya kerana harta kekayaan sebenar milik Mirzan hanyalah RM120 juta dan RM 316 juta milik Mokhzani.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mengesahkan Mokhzani Mahathir memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion manakala Mirzan Mahathir sebanyak RM246.2 juta.

Melalui pengisytiharan harta itu, jumlah aset keseluruhan Mokhzani bernilai kira-kira RM1 bilion dengan ‘personal value’ (aset peribadi) sebanyak RM360 juta.

Mirzan pula jumlah asetnya adalah sebanyak RM246.2 juta dengan ‘personal value’ sebanyak RM120 juta.

“Dari mana datang angka RM1.2 bilion yang disebut berkali-kali oleh DS Anwar. Kononnya mereka termasuk dalam kalangan maha kaya yang disindir mendapat kekayaan kerana sakau duit Kerajaan.

“Apa bukti yang mereka telah sakau duit kerajaan. Kenyataan SPRM tidak menyebut perkara ini.

“Apakah bukti yang saya tolong mereka sakau duit kerajaan,” kata Mahathir lagi.

Pada masa sama beliau mendakwa, sudah dua tahun Anwar masih tidak menunjukkan bukti tentang dakwaan sakau berbilion ringgit duit kerajaan.

BACA JUGA Kos perjalanan RM44 juta bukan PMX seorang tapi seluruh Kabinet

Â