Manchester United dah lima tahun tenat, langkah terbaharu ini mengejutkan

Mengalami kerugian sudah lima tahun berturut-turut sejak 2019, pengumuman terbaharu Manchester United adalah mengejutkan.

Kelab bola sepak ikonik di dunia itu bakal mengurangkan hingga 200 pekerja sebagai sebahagian daripada pelan transformasi untuk meningkatkan kestabilan kewangan.

Tahun lalu, kira-kira 250 pekerja kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut diberhentikan dalam gelombang pertama langkah penjimatan kos.

Keputusan tersebut dibuat selepas pengerusi INEOS, Jim Ratcliffe membeli pegangan 25 peratus saham kelab Old Trafford itu.

Memetik AFP, United turut menaikkan harga tiket walaupun mendapat tentangan daripada penyokong.

Kelab bola sepak popular dengan lebih 600 juta peminat di seluruh dunia itu sedang menghadapi masalah kewangan yang serius.

Manchester United menanggung kerugian bersih selama lima tahun berturut-turut mencecah £113.2 juta untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.

Selain pemberhentian ratusan pekerja, kemudahan seperti makanan percuma untuk kakitangan telah dihentikan, dan kini hanya menyediakan sup dan roti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif United, Omar Berrada dilapor berkata, langkah menyeluruh sedang dilaksanakan untuk mengubah dan memperbaharui kelab.

“Malangnya, ini bermakna kami perlu mengumumkan potensi pengurangan tenaga kerja yang lebih lanjut dan kami amat kesal dengan kesan terhadap rakan sekerja yang terjejas,” katanya.

“Namun, keputusan sukar ini perlu diambil untuk meletakkan kelab kembali ke landasan kewangan yang stabil,” katanya lagi.

BACA JUGA ‘Berjoli duit dah lepas tekak, mulut lagi laju dari otak’

Â