FOTO BERITA | MHO dedah penipuan pelaburan Forex & Kripto, rakyat Malaysia rugi RM48 Juta

FOTO BERITA… Sidang Media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berkenaan rakyat Malaysia ditipu oleh syarikat luar negara kendali Skim Pelaburan Palsu rugi jutaan ringgit di Megan Avenue 1, Jln Tun Razak, Kuala Lumpur. 24hb Februari 2025 (Isnin)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan satu sindiket penipuan pelaburan forex dan kripto yang didalangi oleh individu rakyat Malaysia melalui sebuah syarikat luar negara. Dalam satu sidang media, MHO memaklumkan bahawa seramai 77 orang mangsa telah tampil dengan jumlah kerugian mencecah RM48 juta, dan pulangan 7% sebulan

Menurut MHO, syarikat berkenaan berpangkalan di Seychelles dan diketuai oleh seorang warganegara Malaysia yang merekrut individu tempatan bagi memasarkan skim pelaburan tersebut. Mangsa-mangsa tertarik dengan janji pulangan tinggi serta rekod pelaburan yang kononnya kukuh. Lebih membimbangkan, penipuan ini turut menyasarkan golongan warga emas yang berharap memperoleh pendapatan sampingan.

Platform MetaTrader4 turut digunakan bagi meyakinkan pelabur bahawa transaksi mereka adalah sah. Namun, terdapat keraguan mengenai kesahihan data yang dipaparkan, yang mungkin dimanipulasi untuk mengaburi mata pelabur.

MHO kini menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap syarikat ini bagi memastikan keadilan buat mangsa. Organisasi itu juga menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa.
