Ngeh usulkan Awang Hashim dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan

Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) telah mengemukakan usul agar Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Ini kerana Awang telah melanggar peraturan mesyuarat dengan mengeluarkan sangkaan jahat dan membuat kenyataan tidak benar dan mengelirukan dewan.

“YB Pendang telah menuduh saya, Ahli Parlimen Beruas mencabar Islam dan mencampuri hal agama Islam pada Disember 2023. Beliau juga menuduh saya berniat untuk memperlekeh dan menghina Islam. Ini jelasnya tidak benar dan merupakan satu fitnah.”

Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang)

Ngeh berkata dalam usulnya dengan merujuk kepada perbahasan Dewan Rakyat pada 18 Februari.

Ia ekoran pandangan beliau tentang keperluan wakil peguam bukan Islam di dalam jawatankuasa mengkaji konflik di antara undang-undang syariah dan perlembagaan persekutuan.

“Jelas daripada kenyataan media saya, saya hanya menyentuh tentang isu Perlembagaan Persekutuan dan langsung tidak mencabar atau mencampuri hal agama Islam.

“Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dalam perjumpaan dengan menteri-menteri dan ahli-ahli Parlimen Kerajaan juga telah membuat pendirian bahawa adalah tidak salah orang-orang Islam mendengar pandangan-pandangan orang-orang bukan Islam,” katanya dalam usul tersebut.

BACA JUGA: PM ‘tapau’ nama empat geng PN isu Akta PSB

Â