Siapa ulama tersohor yang disantuni Perdana Menteri ini?

Perdana Menteri malam tadi meraikan tetamu istimewa Imam dan khatib Masjidil Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat makan malam bersama dengan ulama tersohor berusia 86 tahun itu di Seri Perdana sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Kedua-dua tokoh berkenaan kemudiannya menyertai Majlis Ilmu MADANI di Masjid Putra, Putrajaya.

Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri yang dilahirkan pada 1939 di Qalqilya, Palestin itu memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang Syariah dan Usuluddin di Universiti Baghdad, Iraq pada 1963.

Beliau kemudian memperoleh ijazah sarjana dari Universiti Al-Najah, Nablus pada 1989, dan ijazah kedoktoran dalam bidang Fiqh Am dari Universiti Al-Azhar, Mesir pada 2001.​

Pada tahun 1994, Yasser Arafat melantik beliau sebagai Mufti Besar Baitulmuqaddis dan Palestin, jawatan yang disandangnya sehingga 2006.

Selain itu, Sheikh Dr Ekrima juga merupakan Ketua Majlis Islam Tertinggi dan terus berkhidmat sebagai imam serta khatib di Masjid Al-Aqsa.

Bapa kepada lima anak itu sudah beberapa kali ditahan oleh rejim Zionis Israel, termasuk pada Ogos 2024, kerana didakwa terlibat dalam aktiviti yang dianggap menghasut.

Sejumlah karya ilmiah berkaitan pemikiran Islam kontemporari telah dihasilkannya, antaranya,”Islamic Endowment between Theory and Practice” (Wakaf Islam antara Teori dan Amalan) serta “The Book of Enlightenment on Islamic Creed and Quranic Exegesis” (Kitab Pencerahan mengenai Akidah Islam dan Tafsir Al-Quran).

Dikenali kerana pandangan tegasnya mengenai isu-isu yang melibatkan pendudukan dan polisi Israel di Baitulmuqaddis, Sheikh Dr. Ekrima memainkan peranan penting dalam menyuarakan hak-hak rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.​

Pembangunan semula Gaza

Dalam ucapan Perdana Menteri, beliau menyatakan hasrat Malaysia dalam menyambut saranan Sheikh Dr Ekrima untuk menyegerakan usaha pembangunan semula Gaza terutama menerusi wakaf.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti tempatan untuk menjalin hubungan dengan Universiti Al-Quds di Baitulmuqaddis demi kelangsungan ilmu dan pembangunan umat Palestin.

Dalam masa sama, Anwar turut menyentuh tragedi genosid sewaktu Palestin dibantai dalam keadaan umat Islam yang lesu.

“Saya menyeru hadirin agar meniupkan roh perjuangan dan mengangkat martabat umat dalam pelbagai bidang serta meninggalkan masalah remeh-temeh yang memecah-belah umat,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut mengulangi teguran yang disampaikan ketika berucap di hadapan para ulama dan sarjana Islam sewaktu Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Bahrain baru-baru ini.

Teguran tersebut berkenaan permasalahan umat Islam yang masih direnggut perpecahan akibat perbalahan isu-isu remeh, hingga kita mengabaikan usaha membangun dan memperkukuh perpaduan umat.

“Dalam persaingan dunia yang sengit dan mencabar, umat Islam harus merangkul usaha untuk membina kekuatan ekonomi, menguasai kecerdasan buatan (AI) dan digital, di samping menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan, akhlak dan ihsan, seperti ditekankan dalam gagasan MADANI,” katanya.

Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa Sheikh Dr Ekrima malam tadi mengupas sejarah agung kota Al-Quds yang menyaksikan kebesaran Allah SWT melalui peristiwa Israk dan Mikraj semasa menyampaikan tausiah bertajuk “Kedudukan al-Quds dan al-Aqsa di sisi Islam”.

“Ketokohan Umar Al-Khattab sebagai seorang khalifah yang adil dan diberi penghormatan membuka kota Baitulmuqaddis, turut disentuh dan dikongsikan bersama hadirin.

“Ketika itu, kota Al-Quds menjadi saksi tatkala Bilal ibn Rabah kembali mengalunkan azan selepas lima tahun kewafatan Rasulullah SAW, yang meruntun jiwa para sahabat yang merindui Baginda.

“Di akhir majlis, saya zahirkan penghargaan kepada Syeikh Dr Ikrimah sebagai salah seorang tokoh yang menjadi benteng pertahanan umat dalam memperjuangkan kedudukan Masjid al-Aqsa,” kata Anwar lagi.

BACA JUGA Kos perjalanan RM44 juta bukan PMX seorang tapi seluruh Kabinet