Jadi pilihan utama pelabur Eropah, AS, tak sangka sebesar ini potensi pelaburan diraih Malaysia

Malaysia kekal menjadi salah satu destinasi pilihan utama bagi pelabur-pelabur Eropah dan Amerika Syarikat (AS) walaupun negara telah menyertai BRICS.

Menurut Bernama, setakat Disember 2024, sejumlah 56 projek berpotensi dengan komitmen pelaburan hampir RM20 bilion telah dikenalpasti dan bakal dilaksanakan di Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Syarikat-syarikat terkemuka antarabangsa seperti Intel, Amazon Web Services, Oracle, Google dan Plexus terus memberikan komitmen untuk melabur atau meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia, menjadikan negara ini sebagai salah satu destinasi utama bagi lebih 600 syarikat AS.

“Meskipun Malaysia kini secara rasmi menyertai BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) sebagai negara rakan kongsi pada 1 Januari, 2025, ia tetap mengekalkan hubungan kukuh dengan rakan dagang tradisionalnya.

“Hubungan terus berkembang dengan AS dan Eropah, memastikan Malaysia dapat memanfaatkan peluang ekonomi dari kedua-dua pihak tanpa mengabaikan penglibatan dalam blok BRICS yang sedang berkembang,” katanya seperti dilapor Bernama.

Abdul Khalib ingin tahu apakah impak negara-negara luar seperti Eropah dan Amerika Syarikat terhadap sektor pelaburan dan perdagangan negara sekiranya Malaysia menjadi anggota BRICS.

Menurut MITI, penglibatan Malaysia dalam BRICS turut membuka akses pasaran lebih luas terutamanya dengan negara-negara yang tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia, antaranya Rusia, Brazil, Afrika Selatan dan India.

Pada 2024, jumlah perdagangan dengan AS mencatatkan RM325 bilion, meningkat 30 peratus berbanding RM250 bilion pada tahun 2023, manakala perdagangan Malaysia dengan negara-negara Eropah pula mencatatkan RM263 bilion, naik empat peratus berbanding tahun sebelumnya.

BACA JUGA Syahir sedar Presiden Pas tak dapat sokongan PN jadi perdana menteri