Pemuda Pas sengaja hasut rakyat bencikan Kerajaan Madani
Pemuda Pas sengaja menjaja fakta yang salah untuk menghasut rakyat menolak Akta Pembaharuan Semula Bandar dan membangkitkan kebencian kepada Kerajaan Madani.
Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat menegaskan tidak berbangkit isu penjajahan moden seperti di Palestin memandangkan pihak pemaju tidak boleh mengusir pemilik sewenang-wenangnya kerana pemilik dilindungi undang-undang.
“Pemuda Pas sengaja membawa naratif pengusiran seperti di Palestin untuk membangkitkan kebencian rakyat kepada Kerajaan Madani.
“Akta baharu ini tidak boleh mengusir penduduk miskin Melayu Islam yang menjadi pemilik perumahan tersebut.
“Tuduhan Pemuda Pas bahawa akta ini menindas golongan minoriti, memaksa mereka keluar pindah dan menyerahkan tanah mereka tanpa kerelaan adalah tuduhan yang keterlaluan dan tidak berasas kerana pemilik adalah berhak terhadap tanah mereka dan pemaju tiada hak untuk mengusir mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pemuda Pas merancang mengadakan perhimpunan bagi membantah cadangan kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB).
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri menganggap RUU PSB sebagai satu bentuk penjajahan moden yang bakal mengusir penduduk bandar dari tanah mereka, seakan-akan strategi yang pernah digunakan terhadap rakyat Palestin.
Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, cadangan Pemuda Pas untuk mengadakan perhimpunan membantah RUU PSB membuktikan sayap parti pembangkang itu mempunyai pemikiran sempit dan anti pembangunan.
“Adalah tidak logik sama sekali untuk pemaju mengusir pemilik yang sah sesuka hati. Pemuda Pas sengaja menjaja fakta yang salah untuk menghasut rakyat menolak akta ini.
“Sebaliknya, fakta yang tidak disebutkan oleh Pemuda Pas adalah melalui akta ini pemilik yang mempunyai hak terhadap rumah yang terlibat bakal menikmati hasil daripada pembangunan semula kawasan perumahan berkenaan.
“Mereka bakal menerima rumah dalam bentuk unit gantian di tapak yang sama secara percuma,” ujarnya.
Selain itu, Suhaizan menegaskan bahawa pembaharuan semula bandar bukanlah agenda baru di bawah Kerajaan MADANI tetapi telah pun digerakkan sejak tahun 2020 di bawah pemerintahan Kerajaan terdahulu semasa Pas berada dalam kerajaan.
“Jika tuduhan-tuduhan di atas adalah benar, mengapa Pemuda Pas tidak mengadakan himpunan membantah pada tahun 2020?
“Pemikiran sempit anti pembangunan Pemuda Pas adalah tidak selari dengan keperluan pembangunan bandar yang didiami oleh sebahagian besar rakyat Malaysia,” tambah Suhaizan lagi.
BACA JUGA ‘Bukan Kerana Nama’ berkumandang di Dewan Rakyat, siapa MP dari Sabah ini maksudkan
Â