Agenda Dewan Rakyat hari ini

Laporan Ketua Audit Negara akan didebatkan di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu RUU Perbekalan Tambahan akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua.

Sebanyak RM2,308,070,450 dana tambahan akan diperuntukkan ke dalam Penyata Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2024 dan dibentangkan sebagai Kertas Perintah 2 Tahun 2025.

Selain itu pindaan Perlembagaan dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 turut tersenarai untuk bacaan kali kedua.

Waktu Pertanyaan Menteri pula akan menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab dua soalan.

P Prabakaran (PH-Batu) menyoal bagaimana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengangkat martabat penghibur jalanan seperti di London dan Paris dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur kota budaya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) bertanya mengenai mekanisme caj kesesakan dan jumlah penurunan kesesakan.

Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GRS-Sri Aman) pula bertanya Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkenaan usaha membantu lebih ramai usahawan untuk mengurangkan kadar pinjaman tidak berbayar agensi seperti Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar.

Waktu pertanyaan lisan menyaksikan Dr Radzi Jidin (Putrajaya) menyoal berkenaan status penyediaan bank soalan berpusat yang setara standardnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membantu guru-guru dalam melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah
(PBD).

Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) pula meminta Menteri Digital Gobind Singh Deo strategi Kementerian untuk mengimplimentasikan Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan agar usaha kecerdasan buatan terarah dan dioptimumkan serta mengelakkan pertindihan di antara kementerian dan agensi kerajaan.

Â