Orang bukan Islam juga berpuasa – ada persamaan bukan menyamakan
Saya meneliti video asal kenyataan PMX tentang puasa umat Islam dan kaitannya dengan amalan puasa dalam agama-agama lain.
Ada pihak mempertikaikan penjelasan beliau terhadap ayat ke-183 daripada Surah al-Baqarah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
Beliau menyatakan berdasarkan ayat ini, “Puasa ini bukan amalan orang Islam sahaja. Puasa ini pernah diamalkan oleh orang bukan Islam.”
Tidak beradab dengan al-Quran?
Dalam kenyataan Dewan Ulamak PAS Pusat (yang tidak meletakkan sebarang rujukan kitab muktabar), mereka telah mendakwa bahawa kenyataan PMX ini tidak beradab dan menyalahi disiplin tafsir al-Quran:
“Justeru, menyandarkan maksud puasa tersebut dalam satu bakul semua agama berpuasa apatah lagi menggunakan ayat Al-Quran sebagai hujah adalah perbuatan yang tidak beradab…Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa pihak autoriti agama supaya mengambil langkah menegur Perdana Menteri yang menyandarkan pandangannya kepada dalil Al-Quran secara tidak tepat dan menyalahi disiplin tafsir Al-Quran.”
Ada persamaan, bukan bermaksud menyamakan
Apabila disebut “Puasa ini bukan amalan orang Islam sahaja. Puasa ini pernah diamalkan oleh orang bukan Islam,” ia bukan bermakna menyamakan, tapi cukup sekadar menyatakan adanya persamaan. Bahkan PMX sendiri tegas menafikan sebarang unsur pluralisme agama dengan menyatakan “dia (orang bukan Islam) puasa, cara dia, niat dia, syarat-syarat dia…”
Sudah tentu kita semua jelas bahawa apabila disebut ‘disyariatkan oleh Allah ke atas umat terdahulu’, maka ia bermaksud syariat agama samawi dalam bentuknya yang asli dan murni, sebelum ia diubah oleh para pengikut dan pendeta selepasnya.
Kerana itulah para ulama apabila mentafsirkan ayat 183 Surah al-Baqarah ini, mereka akan turut menyebut amalan puasa golongan ahli kitab yang ditokok tambah daripada ajaran asal.
Imam Ibn Asyur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir misalnya menyebut bahawa asalnya Allah mewajibkan golongan Yahudi berpuasa pada bulan Tisri sebagai amalan penghapus dosa, namun pendeta Yahudi telah menambah sebanyak empat hari lagi. Begitu juga orang Nasrani yang meluaskan kefahaman tentang puasa hingga turut merangkumi perbuatan tidak minum, atau hanya makan satu sejenis makanan dalam sehari.
Bahkan perhatikan juga tulisan Syeikh Wahbah Zuhaily dalam al-Tafsir al-Munir ketika mentafsirkan ayat ini:
“Kita semua tahu bahawa puasa itu diwajibkan dalam semua agama, hatta kalangan penyembah berhala sekalipun, dan ia juga diamalkan pada zaman Mesir purba, Yunani, Rom dan Hindu…orang Yahudi pada zaman sekarang juga berpuasa seminggu bagi memperingati penghancuran kota Urushalim (Jerusalem). Begitu juga kitab-kitab Injil sekarang memuji amalan puasa dan menganggapnya sebagai ibadah.”
Ulama tafsir nusantara juga tidak terkecuali. Buya HAMKA dalam Tafsir al-Azhar jelas menyebut “…puasa adalah Syariat yang penting di dalam tiap-tiap agama, meskipun ada perubahan-perubahan hari ataupun bulan.”
Prof Quraish Shihab dalam Tafsir al-Misbah pula menyebut “karena sebagian umat terdahulu berpuasa berdasar kewajiban yang ditetapkan oleh tokoh-tokoh agama mereka, bukan melalui wahyu llahi atau petunjuk nabi.” Ini termasuklah golongan penyembah bintang dan penganut Budha yang ber‘uposatha’ menurut cara mereka sendiri.
Adakah perbuatan para ulama tafsir ini berniat menyamakan amalan puasa umat Islam dengan umat lain? Tentunya tidak. Adakah boleh juga dikatakan mereka terkeliru dan tidak beradab kerana menyebut amalan puasa orang bukan Islam ketika mentafsirkan ayat ini? Pastinya tidak juga.
Tapi ini hanya sekadar menyebut bahawa amalan puasa ini secara amnya tidak terhad kepada umat Islam sahaja, namun perbezaannya banyak sekali kerana wujudnya pengubahan dan tokok tambah oleh umat terkemudian.
Kesimpulan
Justeru, berdasarkan penelitian kenyataan sebenar dan rujukan terhadap kitab tafsir ulama muktabar, tiada unsur kekeliruan, dan pastinya tidak perlu bimbang kenyataan PMX tersebut akan ‘merosakkan pandangan masyarakat terhadap pensyariatan puasa’ seperti dakwaan sesetengah pihak.
Faktanya jelas, bahawa ibadah puasa itu memang difardukan oleh Allah SWT ke atas setiap umat sebelum kita terutamanya golongan ahli kitab, namun tanpa menafikan berlakunya pengubahan oleh umat mereka yang terkemudian.
Akhirnya saya juga fikir, alangkah baiknya kita mengutamakan sikap sangka baik sesama Muslim. Malang sekali apabila kita suka benar mencari-cari salah, meletakkan seburuk-buruk sangkaan dan memperbesar-besarkan sesuatu lebih daripada sepatutnya.
Luqman Tarmizi ialah Penyelaras Pondok Siyasah di Facebook