Pengeluaran tunai di mesin ATM dikenakan caj RM1 – ini sebabnya
Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa pengeluaran tunai di mesin ATM bank pelanggan adalah percuma manakala pengeluaran tunai antara bank digunakan oleh PayNet dan pemeroleh ATM dikenakan caj RM1.
“Pengeluaran tunai di mesin ATM yang disediakan oleh bank pelanggan itu sendiri adalah percuma. Caj RM1 hanya dikenakan untuk pengeluaran tunai di mesin ATM yang dikendalikan oleh selain bank pelanggan itu.
“Ini bagi memberi kemudahan tambahan untuk pelanggan yang tidak mempunyai akses kepada mesin ATM bank mereka di sesuatu kawasan.
“Caj RM1 yang dikenakan untuk pengeluaran tunai antara bank digunakan oleh PayNet dan pemeroleh ATM (iaitu bank yang menyediakan perkhidmatan pengeluaran ATM) untuk menampung perbelanjaan berkaitan penyediaan dan penyelenggaraan rangkaian ATM seperti kos pengisian semula wang tunai ke dalam mesin ATM, kos keselamatan, serta penyelenggaraan sistem untuk memastikan mesin dan sistem ATM kekal berfungsi dengan baik.”
Kementerian Kewangan berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang bertanya sama ada kerajaan akan mewajibkan bank-bank menyerap kos RM1 bagi pengeluaran di mesin ATM susulan keuntungan besar bank-bank yang mencecah berbilion ringgit dan mewajibkan bank memasang pengecas kenderaan elektrik (EV) di luar bangunan untuk kemudahan pengguna EV.
Berhubung kemudahan mengecas kenderaan EV, Kementerian Kewangan berkata ia tertakluk kepada inisiatif bank itu sendiri.
BACA JUGA: Ini sebabnya Speaker kecewa dengan MP Pendang, buat malu orang Kedah
Â