Hutang Che Ta dengan MARA, RM443,392 masih tertunggak

Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta masih belum melunaskan baki hutangnya dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) berjumlah RM443,392.

Perkara tersebut didedahkan oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, setakat 18 Februari lalu, Rozita membayar hutangnya sebanyak RM689,307.59 dengan kira-kira RM150,000 bayaran secara tunai di pejabat agensi berkenaan, manakala selebihnya melalui transaksi dalam talian.

Bagaimanapun, menurut Asyraf Wajdi, baki RM443,392 itu perlu dijelaskan sepenuhnya menjelang akhir bulan ini atau tindakan tegas bakal diambil sepertimana dikenakan kepada peminjam lain yang gagal memulangkan semula wang sehinggakan Mara terpaksa menanggung pinjaman tidak berbayar (NPL) mencecah 49.6 peratus.

“Bayaran pelakon itu dibuat bagi menangguhkan tindakan pelaksanaan penghakiman diambil oleh Mara untuk mahkamah melelong hartanya yang kemudian boleh menyebabkan kebankrapan.

“Rozita belum bayar habis hutangnya kepada Mara dengan baki tertunggak berjumlah RM443,392 yang perlu dilunaskan sepenuhnya sebelum 31 Mac ini. Jadi, dakwaan kononnya dah langsai semua hutang dengan Mara tidak benar.

“Jika dikira-kira, baki hutang Rozita kalau dibayar boleh tampung hampir 50 pelajar yang menuntut di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM).

“Justeru, saya tegas dan tidak berkompromi dengan sesiapa yang berhutang termasuk artis atau golongan ternama,” katanya

Â