FOTO BERITA | Bubur Lambuk Kampung Baru: Resipi 70 Tahun yang terus jadi buruan

FOTO BERITA: “Bubur Lambuk” tradisi bulan Ramadhan Masjid Jamak Kampung Baru Kuala Lumpur. 2hb Mac 2025 (Ahad)

Tahun ini, suasana pengagihan bubur lambuk turut disiarkan secara langsung di Facebook oleh beberapa sukarelawan dan pihak masjid bagi berkongsi kemeriahan dengan orang ramai. Siaran FB Live itu mendapat perhatian luas, dengan ramai netizen meninggalkan komen bernostalgia tentang keenakan bubur lambuk Kampung Baru yang terkenal dengan resipi asli sejak lebih 70 tahun lalu.

Menurut Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru Masjid Jamek Kampung Baru, Ustaz Dato’ Mohd Khay Ibrahim, sebanyak 2,000 bungkus bubur lambuk diedarkan setiap hari kepada orang awam secara percuma sepanjang bulan Ramadan.

“Kami meneruskan tradisi ini setiap tahun sebagai satu amalan sedekah dan kebajikan. Alhamdulillah, ramai sukarelawan serta penyumbang tampil membantu, memastikan juadah ini dapat dinikmati oleh sesiapa sahaja,” katanya ketika ditemui selepas sesi pengagihan bubur.

Proses memasak bubur lambuk bermula sejak awal pagi jam 5 dengan kerjasama penduduk setempat, sukarelawan, serta pihak masjid. Menggunakan ramuan seperti beras, santan, daging, rempah ratus, dan herba pilihan, bubur ini bukan sahaja mengenyangkan tetapi juga sarat dengan rasa tradisional yang unik.

Bagi seorang penerima, Siti Hajar, 42, bubur lambuk Masjid Kampung Baru mengingatkannya kepada zaman kanak-kanak ketika berbuka puasa bersama keluarga di ibu kota.

“Setiap tahun, saya pasti akan datang untuk mendapatkan bubur lambuk di sini. Rasanya tetap sama, sedap dan mengenyangkan,” ujarnya dengan penuh syukur.

Dato’ Mohd Khay Ibrahim Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru

Setiap kali menjelang Ramadan, bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru menjadi sebutan dan buruan orang ramai. Tradisi turun-temurun ini bukan sahaja menarik penduduk tempatan, malah menjadi tumpuan warga kota yang ingin menikmati juadah ikonik berbuka puasa.





