Tidak sokong RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 satu bentuk pengkhianatan kepada amalan demokrasi

OLEH: Datuk Ismail Yusop

Sempena kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sekali lagi melakar sejarah apabila Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 mendapat undian sebanyak 148 undi iaitu undian majoriti dua pertiga daripada bilangan Ahli Parlimen.

Pindaan RUU ini adalah langkah ke arah mengembalikan semula kebebasan Parlimen yang telah dihadkan kuasanya lebih 3 dekad yang lalu.

𝙎𝙚𝙟𝙖𝙧𝙖𝙝 𝙝𝙞𝙩𝙖𝙢 𝙨𝙞𝙨𝙩𝙚𝙢 𝙙𝙚𝙢𝙤𝙠𝙧𝙖𝙨𝙞 𝙗𝙚𝙧𝙥𝙖𝙧𝙡𝙞𝙢𝙚𝙣 𝙣𝙚𝙜𝙖𝙧𝙖

Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 telah dibentangkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia pertama yang mana kelulusan akta ini adalah sebagai lambang demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi asas kepada pembentukan negara bangsa dan pembinaan Malaysia.

Bagaimanapun, sejarah tidak akan lupa bahawa pada tahun 1992, Perdana Menteri pada waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memansuhkan Akta Perkhidmatan Parlimen ini dan meletakannya di bawah kuasa eksekutif iaitu di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ia akan dikenang sebagai tragedi hitam dalam konteks amalan demokrasi berparlimen.

Walaupun sebelum ini terdapat usaha-usaha yang dilakukan untuk mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen ini, namun akhirnya ia tiada sebarang tindakan affirmative untuk menghidupkannya kembali.

𝙎𝙤𝙠𝙤𝙣𝙜𝙖𝙣 𝘼𝙝𝙡𝙞 𝙋𝙖𝙧𝙡𝙞𝙢𝙚𝙣 𝙩𝙚𝙧𝙝𝙖𝙙𝙖𝙥 𝘿𝙖𝙩𝙤’ 𝙎𝙚𝙧𝙞 𝘼𝙣𝙬𝙖𝙧 𝙄𝙗𝙧𝙖𝙝𝙞𝙢

Terdapat beberapa perkara penting yang perlu ditekankan berikutan keputusan yang dibuat di Parlimen semalam antaranya ialah undian 148 Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan untuk RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 ini menunjukkan majoriti dua pertiga yang menyokong. Bagaimanapun, malangnya seramai 57 Ahli Parlimen lagi mengambil langkah untuk tidak mengundi pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025. Tindakan ini secara langsung menunjukkan mereka ini menolak proses untuk mengembalikan kebebasan institusi Parlimen.

Rakyat tidak akan lupa siapa mereka dari kalangan 57 Ahli Parlimen yang tidak mengundi ini, kerana mereka adalah dari kalangan yang terlibat dengan gerakan menubuhkan kerajaan tebuk atap dan kemudiannya menutup Parlimen. Mereka inilah juga yang masih terus menjaja dan bercita-cita untuk kembali sebagai kerajaan tebuk atap atau kerajaan pintu belakang.

Tindakan mereka yang tidak menyambut hasrat YAB Perdana Menteri, Dato’  Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI yang bersungguh-sungguh untuk membebaskan institusi Parlimen dalam konteks amalan demokrasi dengan tindakan untuk tidak mengundi merupakan satu bentuk pengkhianatan kepada proses demokrasi di negara ini.

Keputusan semalam juga memberikan satu petunjuk jelas bahawa 148 Ahli Parlimen telah menyatakan sokongan dan memberi mandat kepada Dato’  Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan MADANI. Ia penting untuk rakyat dapat melihat perkara ini, sekali gus mematikan andaian bahawa kerajaan ini tidak stabil dan perlu ditukar kepimpinannya.

J-KOM mengucapkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI atas kejayaan tersebut yang akan menjadi satu lagi legasi beliau sewaktu menerajui negara tercinta ini.

Kita mendoakan dan berharap dengan sokongan yang ditunjukkan, kerajaan ini akan terus kekal dan diberikan mandat untuk meneruskan usaha membawa negara ke peringkat lebih tinggi dengan mengangkat darjat dan darjat negara sebagai sebuah negara merdeka, bermaruah, berdaulat dan mampu membina tamadun tinggi. Inilah hasrat dan aspirasi kita sejak merdeka dahulu.


Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Kementerian Komunikasi.