Perak umum bonus raya RM1,500, negeri lain macam mana?

Kerajaan Perak bersetuju untuk meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM1,500 kepada anggota perkhidmatan awam negeri itu sempena Aidilfitri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembayaran akan dibuat pada 24 Mac, melibatkan kira-kira 13,582 penerima.

Selain penjawat awam, BKK Aidilfitri turut diberikan kepada ketua kampung, guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta pekerja sambilan harian.

“Alhamdulillah negeri kita ada sumber-sumber mineral dan hasil bumi yang diberikan Allah.

“Ini adalah sebahagian nikmat yang diberikan oleh Allah dan jangan lupa kita bersyukur kepada Nya,” katanya ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa bersama penjawat awam Perak malam tadi.

Menurut Saarani, BKK tersebut dianggarkan membabitkan implikasi kewangan sekitar RM10 juta kepada kerajaan negeri.

Untuk rekod, Perak memberikan BKK RAYA pada 2024 sebanyak RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri dan ketua kampung.

Kata Saarani, kenaikan kadar BKK kali ini antaranya didorong oleh amalan berjimat kerajaan negeri selain didorong pertambahan hasil negeri termasuk menerusi perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), kestabilan politik, serta kemasukan pelabur.

Selain Perak, Pulau Pinang turut mengumumkan bonus hari raya setengah bulan gaji untuk penjawat awam dengan minimum bayaran adalah sebanyak RM1,000.

BACA JUGA Adun Pas sibuk cari orang ponteng puasa dipersoal ramai