Selepas beberapa kali tangguh beri keterangan, SPRM akan jumpa doktor Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah beberapa kali menangguhkan sesi rakaman keterangan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas faktor masalah kesihatan.

Susulan itu, SPRM akan merakam keterangan doktor yang merawat Ismail Sabri mengenai status sebenar kesihatan bekas Perdana Menteri itu.

SPRM memaklumkan keterangan pegawai perubatan itu akan diambil sebelum pihaknya dijadual bertemu pemimpin itu, 13 Mac depan.

“Tujuan SPRM merakam percakapan doktor yang merawat Ismail Sabri adalah untuk mengetahui tahap kesihatan beliau benar-benar berada dalam keadaan baik dan sihat.

“SPRM mengambil berat kesihatan bekas Perdana Menteri itu selain untuk mengenal pasti penyakit yang dihadapi beliau,” katanya, dipetik BH.

Ismail Sabri Yaakob

Sebelum ini, Ismail Sabri dilapor sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM esok.

Namun, suspek dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram berkenaan tidak akan hadir esok kerana masih diberikan sijil cuti sakit (MC) sehingga 12 Mac depan.

Semalam, Ismail Sabri juga dijadualkan perlu bertemu pegawai SPRM tetapi tidak berbuat demikian kerana dipercayai masih berdepan dengan masalah kesihatan.

Terdahulu, pemimpin berusia 65 tahun berkenaan dilapor sudah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat selama kira-kira lima sehari selepas beliau membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu.

Beberapa hari kemudian, empat individu termasuk dua bekas pegawai kanannya ditahan SPRM untuk siasatan lanjut.

Selanjutnya, tiga premis diserbu dengan penemuan wang tunai pelbagai negara berjumlah RM170 juta.

Turut ditemukan 16 jongkong emas mencecah RM7 juta di sebuah kondominum yang didakwa sebagai ‘safehouse’.

BACA JUGA Setelah banyak kali gagal siap stesen bas bersepadu, senator Pas tanya kenapa Pusat tak bina

Â