MHO Desak Siasatan Menyeluruh terhadap Skim Pelaburan Tidak Sah

FOTO BERITA: Sidang Media olah Dato’ Hishamuddin Hashim Setiauhasa Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mengenai Mangsa Penipuan Pelaburan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman. Perkarangan
Menara 238, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 6hb Mac 2025 (Khamis)

Pihak Malaysia International Humanitarian Organization (MHO) telah menerima aduan daripada sekumpulan individu yang mendakwa menjadi mangsa skim pelaburan saham keutamaan boleh tebus (Redeemable Preference Shares – RPS) yang ditawarkan oleh sebuah syarikat pelaburan.

Menurut pengadu, mereka pada awalnya diyakinkan bahawa skim pelaburan ini sah dan berdaftar, namun kemudian mendapati bahawa ia merupakan satu pelaburan yang tidak berlesen. Syarikat berkenaan telah dikompaun oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 19 Oktober 2022 di bawah Seksyen 253 dan Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Namun, para pengadu berpendapat bahawa tindakan kompaun yang dikenakan ke atas syarikat tersebut adalah tidak adil kerana jumlah hukuman yang dikenakan tidak setimpal dengan nilai wang yang telah dikumpulkan daripada mangsa-mangsa pelaburan tersebut.
.

Para pengadu telah membuat laporan polis mengenai perkara ini, tetapi dimaklumkan bahawa laporan mereka diklasifikasikan sebagai “Rujuk Lain Agensi” (Refer Other Agency – ROA) dan telah dirujuk kepada BNM. Berikutan itu, mereka turut membuat laporan kepada BNM bagi mendesak siasatan menyeluruh terhadap individu-individu yang bertanggungjawab dalam syarikat terbabit dan agar pertuduhan jenayah dikenakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Namun, sehingga kini, tiada perkembangan lanjut yang dimaklumkan kepada pengadu mengenai status siasatan sama ada oleh pihak BNM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM). Oleh yang demikian, pihak MHO bersama mangsa-mangsa yang terlibat akan mengadakan satu sidang media di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi mendesak perhatian pihak berkuasa agar siasatan lanjut dilakukan dan tindakan undang-undang diambil ke atas syarikat tersebut.

Pihak MHO berharap agar kes ini mendapat perhatian sewajarnya bagi membela nasib mangsa yang mengalami kerugian besar akibat skim pelaburan yang didakwa sebagai tidak sah ini
