Nampak berjalan kaki pulang ke rumah, tapi di mana adik bekas penyerang Harimau Malaya ini?
Seorang remaja perempuan yang juga adik kepada bekas penyerang Harimau Malaya, Hadin Azman dikatakan pulang ke rumah sendirian dengan berjalan kaki jam 5 petang pada 25 Februari lalu.
Itu kali terakhir Nur Khalisya dilihat rakan sekelasnya yang berjalan dari kawasan Taman Permainan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana Jalan Peel, di Maluri, Kuala Lumpur sebelum hilang.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad LazimIsmail, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja berusia 16 tahun itu daripada ibu Nur Khalisya.
Beliau berkata, ibu remaja itu membuat laporan polis jam 11.29 malam hari sama memaklumkan menghantar anaknya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di Jalan Peel pada 25 Februari lalu, jam 7 pagi.
Jelasnya, wanita yang berusia 44 tahun itu kemudian datang semula ke sekolah pada jam 4 petang untuk mengambil anaknya pulang kerana remaja itu memaklumkan mempunyai kelas tarian.
“Bagaimanapun selepas menunggu hampir 40 minit anaknya tidak ada dan pengawal keselamatan sekolah juga memaklumkan tiada lagi pelajar berada di sekolah pada waktu itu.
“Pengadu kemudian menghubungi rakan sekelas anaknya dan dimaklumkan bahawa anaknya telah pulang ke rumah sendirian dengan berjalan kaki jam 5 petang dari kawasan Taman Permainan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana Jalan Peel.
“Sehingga laporan polis dibuat anak pengadu tidak dapat dijumpai,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju memohon bantuan orang ramai untuk mengesan remaja hilang itu yang kali terakhir dilihat memakai baju sukan SMK Convent berwarna biru dan berseluar trek warna hitam.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92810715 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya lagi.
BACA JUGA Setelah banyak kali gagal siap stesen bas bersepadu, senator Pas tanya kenapa Pusat tak bina
Â