PM arah tindakan tegas kepada penghasut perkauman, agama

Perdana Menteri hari ini telah memberi peringatan tegas dengan mengarahkan agar semua badan penguatkuasaan dan agensi keselamatan mengambil tindakan yang cepat, berkesan dan tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut menggunakan isu perkauman dan agama.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, peringatan tegas Perdana Menteri itu susulan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang meneliti pelbagai isu semasa, termasuk isu hasutan kaum dan agama yang kini tular di media sosial.

“Semua pihak diingatkan untuk memelihara perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat dengan memupuk persefahaman dan hormat-menghormati antara satu sama lain serta sentiasa mematuhi undang-undang negara demi kesejahteraan bersama,” menurut kenyataan itu.

Pendirian tegas Perdana Menteri itu mengulangi peringatan beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Teras Jernang, di Bangi petang tadi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada pemimpin dan ahli politik agar tidak mempergunakan isu agama sebagai senjata politik demi kepentingan peribadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata jika sentimen tersebut diteruskan, ia akan membakar dan memusnahkan rakyat.

“Namun, pendirian kerajaan jelas dan tegas. Penghinaan terhadap manusia dan agama tidak boleh diterima, apatah lagi dalam negara kita.

“Saya ingin memberi peringatan, jangan gunakan agama sebagai senjata politik,” tegas Anwar.

Pengulangan penegasan itu susulan tindakan pihak tertentu yang menyebarkan kenyataan berbaur provokasi, penghinaan, dan mempermainkan agama di media sosial, termasuk dalam kalangan ahli politik.

Semalam, Anwar dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri pun mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil kesempatan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman serta menanam bibit kebencian dalam masyarakat.

Dalam hal berkaitan, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang turut menggesa rakyat agar tidak menyebarkan kenyataan provokatif dan menghina agama lain, sambil mengingatkan mereka mengenai kesan buruk perbuatan tersebut terhadap keharmonian negara.

BACA JUGA Setelah banyak kali gagal siap stesen bas bersepadu, senator Pas tanya kenapa Pusat tak bina

Â