SEKPUR gesa pihak berkuasa bertindak terhadap hinaan dan ugutan di media sosial

FOTO BERITA: Laporan polis dan sidang media oleh NGO SEKPUR berhubung perkara kenyataan fitnah jahat melampau mengelirukan Rakyat dengan hinaan dan ugutan terhadap pemimpin negara di hadapan IPD Dang Wangi Kuala Lumpur. 7hb Mac 2025 (JUmaat)

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sekretariat Kebajikan dan Perpaduan Rakyat (SEKPUR), hari ini mengadakan sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantah kenyataan fitnah melampau yang didakwa mengelirukan rakyat serta mengandungi unsur hinaan dan ugutan terhadap Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Sidang media ini diadakan selepas SEKPUR membuat laporan polis berhubung satu video yang dipercayai tular melalui TikTok, NGO berkenaan menegaskan bahawa tindakan tegas harus diambil terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu dan berunsur provokasi, yang boleh menggugat keharmonian serta kestabilan negara.

Menurut jurucakap SEKPUR, Shahbudin Embun Naib Pengerusi, kenyataan Gobalakrishnan bukan sahaja bersifat fitnah tetapi juga mengancam keselamatan pemimpin negara. Mereka mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang segera bagi memastikan tiada pihak sewenang-wenangnya menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat yang boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

“Kita tidak boleh membiarkan budaya fitnah dan ugutan berleluasa. Ini bukan soal perbezaan pendapat, tetapi satu tindakan yang jelas berniat jahat untuk menimbulkan kebencian terhadap pemimpin negara,” katanya

SEKPUR turut menyeru rakyat Malaysia agar lebih berwaspada dengan maklumat yang disebarkan di media sosial dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda yang boleh mengancam keamanan negara. Mereka menegaskan sokongan penuh kepada pihak berkuasa dalam memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka yang terlibat.