Ahmad Samsuri nasihat ahli Pas jaga akhlak, jaga adab

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menasihatkan ahli Pas supaya sentiasa menjaga akhlak dan adab yang baik sebagai pembangkang mahupun kerajaan.

Lebih-lebih lagi apabila Pas menjadi kerajaan, mereka akan lebih diperhatikan oleh rakyat, kata Ahmad Samsuri.

Pas mentadbir empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

Beliau mengingatkan kembali bahawa 9 Mei 2018 adalah tarikh keramat bagi Pas kerana parti itu diamanahkan satu tanggungjawab yang amat besar untuk menjaga rakyat.

“Sebagai pembangkang mahupun kerajaan, perlulah kita sentiasa menjaga akhlak dan adab yang baik.

“Lebih-lebih lagi sebagai kerajaan, kita akan lebih diperhatikan dan diharapkan oleh rakyat untuk membela nasib mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Nasihat itu dikeluarkan tanpa dituju kepada mana-mana isu. Namun sejak kebelakangan ini Pas banyak terpalit dengan kes fitnah.

Bulan lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan ahli serta pemimpinnya untuk memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum disampaikan kepada orang ramai untuk mengelakkan saman sekali gus menjejaskan imej parti.

Beliau ketika itu mengulas sama ada Pas akan meminta pemimpinnya lebih berhati-hati dalam berceramah atau membuat kenyataan susulan dakwaan parti itu dicop sebagai ‘kaki fitnah’ selepas ada antaranya disaman dan didapati bersalah memfitnah.

BACA JUGA Penjawat awam jangan terlalu bermewah, jika mampu pakai Myvi jangan beli Vios

Â