Rodziah Ismail umum bertanding Ketua Wanita PKR

Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mengumumkan akan bertanding sebagai Ketua Wanita PKR dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung Mei nanti.

Rodziah berkata, beliau optimis untuk terus melangkah membawa wanita PKR ke depan selain akan memberi tumpuan kepada pengurusan organisasi yang lebih mantap.

Beliau melihat sayap wanita PKR memerlukan seorang pemimpin politik yang boleh melahirkan lebih ramai kepimpinan wanita celik politik dan isu semasa.

“Kepimpinan wanita Keadilan perlukan kepimpinan politik. Bukan pemimpin semata-mata untuk buat program. Bila kita komited dalam politik, kita akan lahirkan lebih banyak wanita celik politik, celik isu semasa dan membawa agenda wanita yang lebih berkesan.

“Saya ingin kembalikan balik kedudukan wanita Keadilan supaya lebih ke hadapan berbanding parti lain. Dulu kita pernah pimpin gabungan, saya akan pastikan ruang kerjasama dengan pimpinan Wanita Harapan dan Wanita Perpaduan demi membawa agenda lebih baik,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Jawatan Ketua Wanita PKR ketika ini disandang Fadhlina Sidek. Beliau memaklumkan akan bertanding untuk mempertahankan jawatan disandangnya.

Sebelum ini, Rodziah kalah tipis kepada Fadhlina Sidek dengan perbezaan hanya 32 undi pada pemilihan 2022 lalu.

Menerusi pemilihan tersebut, Fadhlina memperoleh 18,923 undi berbanding Rodziah yang mendapat 18,891 undi.

PKR mengumumkan untuk mengadakan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan.

Pemilihan peringkat cabang dijadual berlangsung dari 11 hingga 20 April ini, manakala pemilihan pucuk pimpinan pusat akan diadakan pada 24 Mei.

BACA JUGA Sebar fitnah kerajaan larang azan, PM akhirnya bersuara

Â