Lain macam! IPR INTAN berjaya usahakan ladang cili pertama di bawah pencawang TNB
Buat pertama kali, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)- Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) berjaya mengusahakan ladang cili seluas 10 hektar di bawah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Kementerian Ekonomi sepenuhnya menggunakan tanah milik TNB yang sudah lama terbiar untuk mengusahakan tanaman cili ini.
Lebih menarik, hasil cili akan dijual di Pasar Borong Selangor dan Jualan Ehsan Rahmah (JER) di mana dalam Belanjawan Selangor 2025, kerajaan negeri telah memperuntuk RM30 juta bagi pelaksanaan JER.
Ladang cili ini dimulakan pada September tahun lalu membabitkan 20 orang peserta IPR INTAN.
Untuk musim pertama tuaian bulan ini, hasil tanaman dijangka sekitar 40 tan yang bersamaan dengan kira-kira RM280,000.
Menurut Kementerian Ekonomi, para peserta diberi gaji melebihi kadar gaji minimum iaitu sebanyak RM2,100 tidak termasuk bonus.
“Tanah ini ada dua kegunaan. Satu untuk membekalkan bekalan elektrik, satu lagi untuk bekalkan bekalan sayur negara.
“Ladang cili ini mula beroperasi pada September lepas dan ini adalah musim menuai yang pertama di mana dijangka akan menghasilkan 40 tan hasil cili.
“Di sini ada 20 orang peserta IPR INTAN yang datang daripada golongan B40 dan miskin yang duduk sekitar Damansara,” menurut video dikongsikan Kementerian Ekonomi.
Setiap peserta dipertanggungjawab untuk mengusahakan 0.5 ekar ladang cili.
Seperti di Putrajaya, ladang cili ini menggunakan sistem fertigasi.
“Jadi di sini peserta hanya perlu membenih, jaga pokok dan juga menuai. Siram dan membaja hanya menggunakan sistem fertigasi. Cili cili yang dituai akan dijual kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS),” ujarnya.
BACA JUGA Tak sangka lagu Siti Nurhaliza dipilih sebagai lagu kegemaran Raja Charles III
Â