MP Pas terkejut PMX sebut gaji Ahli Parlimen boleh cecah RM40,000

Seorang pemimpin Pas mengakui terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri yang menyebut bahawa gaji yang diterima ahli Parlimen termasuk pelbagai elaun boleh mencecah sehingga antara RM30,000 hingga RM40,000.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mendakwa tidak mendengar ada wakil rakyat di Dewan Rakyat menerima gaji sebanyak RM40,000.

“Terkejut saya baca laporan PMX dikatakan menyebut gaji Ahli Parlimen RM40,000!

“Ini adalah penggal kedua saya sebagai Ahli Parlimen. Tak pernah saya dengar ada ahli Parlimen yang terima gaji RM40,000.

“Tak tahulah saya jika dia menerima sebanyak itu sebagai Ahli Parlimen,” katanya di TikTok.

Susulan itu, rata-rata ‘terkejut’ dengan reaksi Ahmad Amzad yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkenaan.

“Kalau dengar betul apa yang PMX cakap ialah gaji campur elaun-elaun yang macam-macam tu boleh dapat RM30,000 hingga RM40,000 sebulan. Rasanya betul dah tu PMX cakap. Tiada isu ni, kecuali ada masalah hatilah.

“Tak kiralah berapa pun tapi ingat itu duit rakyat, kenalah setimpal dengan kerja yang dilakukan pada rakyat untuk keluar daripada kesusahan ekonomi. Nanti kamu akan ditanya-Nya.

“Gaji siak baru RM700, lebih banyak jasa dan bakti berbanding yang belasan dan puluhan ribu ringgit tu,” demikian antara komentar dan sindiran warga maya.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya peruntukan yang tidak diberikan kepada ahli Parlimen pembangkang menjadikan mereka miskin.

Beliau berkata, gaji yang diterima ahli Parlimen termasuk pelbagai elaun boleh mencecah sehingga antara RM30,000 hingga RM40,000.

Tegasnya, apa yang menjadi masalah jika ahli Parlimen terbabit tidak bijak mengurus kewangan mereka kerana gemar berhutang.

“Hendak jadi hero jalanan belajar dahulu, jadi sekarang dia gunakan isu ini jadi riuh rendah. Ada yang katakan kami sampai miskin berhutang, hendak tahu gaji ahli Parlimen semua mencecah RM30,000 ke RM40,000.

“Siapa dapat RM30,000-RM40,000 di sini? Yang kita bezakan adalah peruntukan itu pun untuk kawasan untuk rakyat diteruskan cuma projek itu jalan terus kepada rakyat melalui ahli Parlimen, itu bezanya,” kata Perdana Menteri.

@amzadhashim

Terkejut saya baca laporan PMX dikatakan menyebut gaji Ahli Parlimen RM40,000.00! Ini adalah penggal ke dua saya sebagai Ahli Parlimen. Tak pernah saya dengar ada ahli Parlimen yang terima gaji RM40,000.00. Tak tahu lah saya jika dia menerima sebanyak itu sebagai Ahli Parlimen.

♬ Breaking News – DM Production

BACA JUGA Terkini 13 akaun bank berisi lebih RM9 juta berkait Ismail Sabri disita SPRM