FOTO BERITA | Veteran MyWIRA perkukuh peralihan kerjaya veteran ATM

FOTO BERITA: Majlis Sesi Libat Urus dan Bengkel Strategik Program Veteran MyWIRA bersama YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri KESUMA serta YB Tuan Hj Adly Zahari Timbalan Menteri Pertahanan di Ballroom C, Hotel Hilton, Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur. 10hb Mac 2025 (Isnin)

Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Perbadanan Hal Ehwal Veteran ATM (PERHEBAT) memperkukuh laluan transisi kerjaya bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Program Veteran MyWIRA.

Sesi Libat Urus dan Bengkel Strategik Veteran MyWIRA hari ini menghimpunkan lebih 150 pemegang taruh, termasuk agensi kerajaan dan industri, bagi membangunkan program kesinambungan kerjaya yang lebih tersusun. Fokus utama adalah merapatkan jurang kemahiran, meningkatkan kebolehpasaran, dan memperluas peluang keusahawanan bagi memastikan veteran mendapat pekerjaan berkualiti.

TalentCorp dan JHEV turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan sokongan kepada veteran ATM yang memasuki sektor swasta. Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, menegaskan bahawa inisiatif ini akan memudahkan peralihan veteran ke tenaga kerja sivil secara lebih sistematik dan produktif.

Dalam masa yang sama, Timbalan Menteri Pertahanan, YB Tuan Adly Zahari, menyeru lebih banyak syarikat untuk membuka peluang kepada veteran, memanfaatkan kepakaran mereka dalam bidang teknikal dan kepimpinan. Beberapa syarikat utama seperti Micron Memory Malaysia dan Western Digital telah mengambil langkah proaktif dengan menawarkan peluang pekerjaan dan latihan.

Sejak dilancarkan pada Januari 2024, Program Veteran MyWIRA telah membantu 49 veteran mendapatkan pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,900 dan membuka lebih 500 peluang pekerjaan dalam sektor berkemahiran tinggi. TalentCorp turut menyampaikan sumbangan RM30,000 kepada persatuan veteran bagi menyokong kebajikan serta pembangunan kemahiran mereka.

Â