Berhenti jadi ‘badut’ polemikkan isu 3R, Sultan Pahang tegur siapa?

Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya semua pihak berhenti menjadi “badut” yang mempolemikkan isu raja, agama dan kaum (3R).

Baginda mahu pemimpin politik bertindak sebagai jambatan perpaduan yang menyatukan rakyat, bukannya mencetus api yang membakar hubungan harmoni yang telah lama terbina. 

“Berhentilah daripada menjadi ‘badut’ yang mempolemikkan isu raja, agama dan kaum (3R) sehingga mencetuskan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat.

“Biarkanlah ‘pentas’ ini terus tenang, tanpa drama yang menyakitkan. Berdialoglah guna akal dan hati, bukannya bermonolog guna nista dan benci” titah Paduka Baginda menerusi Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat memasyhurkan nama Masjid Baharu Kampung Durian Hijau dengan nama Masjid Abdulrrahman Ibn Auf, Kampung Durian Hijau.

Sementara itu baginda Al-Sultan menyambut baik kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail baru-baru ini yang menekankan bahawa pemimpin bertanggungjawab menjadi pendamai, bukan pencetus perbalahan.

Baginda mengingatkan pertelingkahan kaum dan agama jika tidak dibendung dengan bijaksana, mampu membawa malapetaka.

“Kita tidak mahu sejarah hitam itu berulang hanya kerana kealpaan kita dalam mengurus isu sensitif ini dengan hikmah dan bijaksana,” titah Paduka Bagina

Paduka Baginda turut mengingatkan semua rakyat, tidak kira muslim atau bukan muslim agar tidak mudah melatah dan membuat spekulasi sehingga meruntuhkan keharmonian yang dibina hasil daripada sikap saling menghormati dan toleransi selama ini.

“Hormatilah antara satu sama lain, jagalah sensitiviti antara agama dan kepercayaan. Jangan sesekali kita biarkan kejahilan dan keangkuhan, merosakkan apa yang telah lama kita bina bersama,” titah Paduka Baginda.

Mengakhiri titah, Paduka Baginda menegaskan bahawa negeri Pahang akan terus bernaung di bawah kedaulatan dengan agama Islam tetap teguh menjadi tiang seri yang menyuluh jalan kehidupan rakyatnya.

BACA JUGA Ini jawapan ChatGPT kenapa denda Era FM lebih tinggi dari yang lain

Â