Doktor bergelar Datuk Seri disyaki terlibat rasuah babit daftar kelahiran

Seorang doktor bergelar Datuk Seri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan pendaftaran kelahiran bukan warganegara kepada warganegera dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Pengamal perubatan itu antara 16 yang ditahan dalam operasi Op Outlander dan Op Birth, selepas satu serbuan dilakukan ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, bagi Op Outlander, suspek utama adalah penjawat awam.

Dia disyaki melakukan perbuatan itu dengan membantu permohonan sebagai pendaftaran lewat kelahiran iaitu untuk yang melebihi tempoh 60 hari selepas kelahiran.

“Dipercayai kegiatan ini turut didalangi oleh seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang memiliki beberapa klinik dan pusat bersalin yang berperanan mengeluarkan dokumen pengesahan kelahiran palsu.

“Bagi Op Birth pula, tiga suspek utama disyaki sebagai ejen melakukan perbuatan itu dengan menawar dan memberikan rasuah kira-kira RM18,000 kepada seorang penjawat awam.

“Ia bagi membantu permohonan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan seperti surat pengesahan kelahiran hospital yang didapati palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Khusairi berkata, enam orang awam disyaki menggunakan khidmat ejen berkenaan turut ditahan kerana menjadi pemohon yang mengemukakan permohonan daftar kelahiran.

Turut ditahan seorang pengamal undang-undang disyaki sebagai orang tengah di antara ejen dan pemohon.

“Seramai 16 suspek berusia antara 20 hingga 70-an ditahan antara jam 11 pagi hingga 8 malam semalam,” katanya.

Serbuan yang dilakukan semalam berpandukan maklumat hasil risikan kira-kira setahun serta kerjasama dan perkongsian maklumat antara SPRM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Penangkapan ini mencerminkan komitmen teguh SPRM dalam memastikan usaha memerangi rasuah khususnya yang membabitkan perkhidmatan awam demi memastikan aspek keselamatan negara terjamin,” katanya.

Â