Palsu: Surat MARDI Corp batal program MB Terengganu tular

MARDI Corp yang menguruskan Dewan MAEPS di Serdang telah menafikan bahawa mereka mengeluarkan surat pembatalan kepada program Menteri Besar Terengganu dengan anak perantauan Terengganu di dewan tersebut.

Pengarah Urusan MARDI Corp Mohamad Zamir Ghazali berkata surat yang tular di pelbagai platform media sosial itu adalah palsu.

Surat yang bertarikh hari ini mendakwa pembatalan tersebut dibuat kerana dewan milik kerajaan tidak boleh digunakan untuk tujuan politik.

Surat palsu yang dialamatkan kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut menyatakan bahawa program dengan anak perantauan itu dijadualkan berlangsung pada 15 Mac.

Dalam perkembangan berkaitan Unit Komunikasi Korporat MARDI Corp berkata bahawa MARDI Corp sedang menyiasat sumber penyebaran dokumen palsu ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Sebarang maklumat sahih hanya akan dikeluarkan menerusi laman web rasmi MARDI Corp dan saluran media sosial rasmi MARDI Corp.

Â