RM1.1 billion untuk Sapura Energy bukan bailout, ia penstrukturan semula

Wang bernilai RM1.1 billion dari Permodalan Nasional Berhad (PNB) kepada Sapura Energy bukan satu bailout sebagaimana yang dilaporkan tetapi adalah proses penstrukturan semula syarikat yang mempunyai lebih 4,000 kakitangan itu.

Ia bertujuan memastikan Sapura Energy mampu membayar balik hutangnya kepada lebih 2000 vendor tempatan yang mana lebih 80% darinya adalah syarikat Bumiputra dan bangun semula sebagai sebuah konglomerat besar negara.

Berbeza dengan bailout, dana ini tidak diberikan secara percuma tetapi melalui mekanisme tertentu untuk memastikan keberkesanan dalam pemulihan syarikat.

“Kerajaan tidak menyelamatkan Sapura secara percuma, tetapi memastikan syarikat ini melaksanakan pelan penstrukturan menyeluruh supaya dapat membayar hutang kepada vendor tempatan dan mengekalkan pekerjaan rakyat,” kata satu sumber berdasarkan satu taklimat dalaman.

Lagipun, kata sumber itu, PNB mempunyai tanggungjawab untuk membayar dividen kepada pelaburnya dan bukannya boleh menghanguskan wangnya begitu sahaja.

Oleh itu, wang ini perlu diperolehi balik oleh PNB dengan keuntungan untuk pelaburnya di masa depan selepas usaha ini selesai.

Bantuan ini bertujuan untuk menyelamatkan ribuan vendor tempatan, termasuk PKS yang menghadapi masalah akibat tunggakan pembayaran.

Ia umpama tindakan yang diambil kerajaan untuk membantu Proton sebelum ini, sebelum sebahagian sahamnya diambil alih oleh Geely dari China.

“Kerajaan melalui PNB mengambil tindakan ini untuk memastikan lebih 2,000 vendor tempatan dan ribuan pekerja tidak terjejas.

“Jika Sapura gagal membayar vendor, kesannya akan merebak ke seluruh ekosistem perniagaan dan pekerjaan di Malaysia,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu juga, suntikan dana RM1.1 bilion bukan pemberian percuma, tetapi satu pelaburan strategik yang akan dipulangkan kembali kepada PNB dan pelaburnya.

“Ini bukan bantuan percuma, tetapi satu langkah pelaburan yang memastikan PNB mendapat pulangan melalui skim penstrukturan yang dipantau dengan ketat,” katanya merujuk kepada pembaharuan pentadbiran yang akan berlaku kepada syarikat ini

Melalui pensrukturan semula ini, hampir kesemua pegawai kanan Sapura Energy termasuk Tan Sri Shahril Shamsuddin, CEO Kumpulan, akan digantikan menerusi perlantikan baru.

Sapura Energy mempunyai kepentingan tersendiri dalam industri minyak dan gas negara kerana syarikat ini adalah satu pemain utama dalam industri minyak dan gas Malaysia.

Jika syarikat ini gagal, ia akan memberi kesan kepada keseluruhan sektor tenaga negara dan mengancam ekonomi, kata sumber itu.

“Sapura Energy adalah syarikat strategik dalam sektor minyak dan gas Malaysia. Jika ia gagal, kesan negatifnya bukan sahaja kepada syarikat tetapi juga kepada ekonomi negara secara keseluruhan,” kata sumber itu.

BACA JUGA Ini rupanya punca kenapa Era FM didenda sampai RM250k

Â