Warisan dah solo sejak PRN Johor

OLEH: RAZEEF RAKIMIN

Saya mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah, Azis Jamman yang menjelaskan kesetiaan dan dukungan Warisan terhadap kerajaan Perpaduan.

Pada pandangan saya Lee Chean Chung tidak perlu menyibuk isu parti lain untuk ingin bekerjasama dengan siapa atau memilih untuk bertanding solo.

Saya juga maklum Warisan menyokong Anwar Ibrahim ketika berlakunya Langkah Sheraton.

Namun sebelum itu Warisan menyokong Mahathir Mohamad yang jelas mengambil tindakan bodoh meletakkan jawatan dan Warisan tahu mereka akan ditunggang seperti keldai jika bersama Perikatan Nasional (PN).

Maka sokongan mereka terhadap Anwar pada ketika itu kerana ‘tiada pilihan lain’.

Namun saya ingin memperbetulkan beberapa kenyataan antaranya Warisan adalah pihak yang mula-mula meninggalkan Pakatan Harapan (PH) ketika memilih untuk bertanding solo pada PRU-15 yang lalu.

Malah Warisan mula bergerak solo selepas memilih untuk bertanding dalam PRN Johor sehingga semua calon Warisan hilang deposit.

Pada PRU-15 Warisan begitu angkuh dengan menyatakan bahawa mereka boleh memenangi lebih kerusi tanpa PH kerana bagi mereka PH menumpang kekuatan Warisan semasa PRU-14.

Malah dengan penuh yakin mereka meletakkan calon di Semenanjung.

Namun selepas meletakkan calon di lebih 50 kerusi, Warisan jelas ditolak apabila hanya memenangi tiga kerusi dan kehilangan lima) kerusi yang disandang termasuk Azis Jamman dan timbalan presiden mereka, Darell Leiking.

Warisan tidak harus menuding jari pada PH seolah PH meninggalkan Warisan sedangkan Warisan sendiri meninggalkan PH di Sabah.

Malah Shafie Apdal sendiri dalam beberapa kenyataan dengan jelas mengatakan akan lawan PH di Sabah pada pilihan raya negeri akan datang.

Maka tidak hairan banyak pihak akan meragui kesetiaan Warisan.

Warisan juga tidak boleh menuding jari menyalahkan PH yang menyokong kerajaan negeri ketika cubaan Warisan dan BN menumbangkan kerajaan negeri Sabah dalam ‘Langkah Kinabalu’.

Kita telah membentuk kerajaan perpaduan bersama dan PH lebih berminat untuk bersama membangunkan negeri ini berbanding mengambil langkah yang mengganggu gugat kestabilan politik seterusnya merencatkan usaha pemulihan ekonomi pasca Covid-19.


Razeef Rakimin ialah ketua penerangan PKR Sabah.

Â