Bukan sangat perjuang agama, auto suci kalau kerajaan…
Aktivis politik Liyana Marzuki berpendapat pihak yang ‘bising’dengan kompaun yang dikenakan kepada pelawak Harith Iskander dan pengguna Facebook Cecelia Yap susulan kes pengendali stesen radio Era FM bukannya sangat memperjuangkan agama Islam.
Liyana menegaskan nilai denda dan kompaun terhadap sesiapa yang meninggalkan komentar menghina Nabi Muhammad dan agama adalah tetap sama biarpun Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Perpaduan yang menduduki Kerajaan Persekutuan.
“Yang hairan, set-set terpaling sekarang yang meroyan. Ketika zaman 33 bulan, saya tak nampak posting mereka acah-acah tersakiti dengan denda RM10,000 ini. Senyap sunyi.
“Bukan sangat isu perjuangkan agama. Cuma sekarang kesnya terjadi apabila kerajaan yang mereka benci.
“Kalau kerajaan yang mereka suka, semuanya auto suci,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, pembangkang mengecam kerajaan MADANI apabila membandingkan nilai kompaun RM10,000 yang masing-masing dikenakan terhadap Harith dan Cecelia Yap dengan jumlah kompaun RM250,000 terhadap stesen radio Era FM di bawah Maestra Broadcast Sdn Bhd.
Mengulas lanjut, Liyana yang juga pengamal undang-undang menegaskan keputusan mahkamah adalah berdasarkan duluan (precedent) bukannya mengikut kehendak kerajaan semasa.
“Kalau kita kaji, kes hina Nabi masa 33 bulan pun dendanya sama RM10,000 juga. Masa zaman Tun M jadi PM pula hanya RM5,000.
“Itu denda duluan (precedent) yang ditetapkan kalau kes komen di media sosial.
“Kalau kes penghinaan melalui video, saya tengok ada penjara dan puluh ribu denda. Itu lain pula. Hukumannya bergantung kepada fakta yang ada.
“TPR atau mahkamah ni bukan denda ikut suka. Ada duluan yang digunapakai. Bukan ikut selera kerajaan,” tegasnya yang juga pengendali audio siar “Jangan Pajak Otak” itu lagi.
BACA JUGA Ketahui bagaimana RM1.1 bilion disuntik dalam Sapura Energy