FOTO BERITA | Tanding Ketua Cabang nafas baharu untuk PKR Shah Alam & komited perkukuh parti – Najwan

FOTO BERITA… Majlis Iftar & Sidang Media Khas oleh YB Najwan Halimi EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri merangkap ADUN Kota Anggerik dan sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia di MBSA Convention Centre, Shah Alam, Selangor. 12 Mac 2025 (Rabu)

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai wadah politik utama rakyat Malaysia, dengan pertumbuhan keanggotaan yang semakin memberangsangkan dan kepimpinan muda yang kian menyerlah.

Dalam menghadapi Pemilihan KEADILAN 2025, calon Ketua Cabang KEADILAN Shah Alam menzahirkan komitmen untuk membawa perubahan yang lebih segar dan efektif bagi memperkukuh cabang tersebut dalam arus politik nasional yang semakin mencabar.

“KEADILAN dibangun atas semangat Reformasi yang mendambakan perubahan dalam demokrasi, tatakelola, keadilan sosial dan ekonomi yang bersifat manusiawi. Selepas lebih 25 tahun berjuang, KEADILAN akhirnya menerajui perubahan di Putrajaya di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujar calon tersebut dalam kenyataan rasmi.

Pemilihan kali ini disifatkan sebagai medan penting bagi anggota parti untuk memilih barisan kepimpinan yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga mampu mempertahan kepentingan serta menjamin kelangsungan parti.

“Dengan sokongan dan dukungan anggota cabang, KEADILAN Shah Alam akan bangkit sebagai satu ketumbukan yang lebih kuat, efektif dan berwibawa dalam menghadapi cabaran politik mutakhir ini,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan keperluan semangat perpaduan, keterbukaan dan nilai hormat dalam pemilihan parti kali ini agar KEADILAN Shah Alam terus berkembang sebagai sebuah entiti yang kukuh dan relevan dalam lanskap politik negara.
