Pelaburan PNB dalam Sapura Energy Bukan ‘Bailout’, Tetapi Langkah Strategik – Fahmi

FOTO BERITA: Sidang Media Mingguan oleh YB Datuk Fahmi Fadzil Menteri Komunikasi di Anjung Aras 32, Kompleks Kementerian Komunikasi, Presint 4, Putrajaya. 12hb Mac 2025 (Rabu)

K Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa pelaburan strategik Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam Sapura Energy Berhad bukanlah satu bentuk bantuan kewangan atau ‘bailout’, sebaliknya langkah pemulihan yang terancang.

Menurut Fahmi, PNB telah melabur RM1.1 bilion dalam bentuk redeemable convertible shares sebagai sebahagian daripada usaha menstruktur semula syarikat tersebut. Pelaburan ini bertujuan memastikan Sapura Energy dapat melunaskan tunggakan pembayaran kepada lebih 2,000 vendor tempatan, di mana lebih 80% daripadanya merupakan syarikat Bumiputera.

“Ada dakwaan media yang mengatakan ia adalah bailout. Ia tidak benar. Ini pelaburan strategik yang berbeza daripada bailout yang pernah berlaku sebelum ini. That is a real bailout. Ini bukan. Ini Madani. PNB akan mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini,” kata Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi.

Beliau menjelaskan bahawa tidak seperti bailout, dana ini tidak diberikan secara percuma tetapi melalui mekanisme tertentu bagi memastikan keberkesanan pemulihan syarikat. Langkah ini juga diambil selepas mempertimbangkan pelbagai faktor, termasuk kesediaan kerajaan untuk berurusan dengan syarikat asing tanpa kehadiran Sapura Energy.

Dengan lebih 4,000 kakitangan dan peranan penting dalam sektor tenaga negara, penstrukturan semula Sapura Energy diharapkan dapat membantu syarikat itu kembali sebagai sebuah konglomerat besar, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.
