Anak muda UMNO jawab Hadi Awang, ‘kami bunuh cita-cita Pas jadi kerajaan’

Seorang pemimpin muda UMNO berkata, UMNO tidak pernah membunuh partinya sendiri apabila membentuk kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya UMNO yang telah membunuh cita-cita Pas untuk menjadi kerajaan.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain berkata, Presiden Pas sedang menjerut lehernya sendiri.

Beliau berkata, jika Pas tahu UMNO adalah parti perjuangan yang membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah, mengapa Pas sejak dahulu lagi berterusan melawan UMNO.

“Kenapa tuan guru sendiri menentang perlembagaan walaupun tuan guru mengakui bahawasanya UMNO mempertahankan Perlembagaan.

“Jadi tuan guru sebenarnya sedang membunuh parti tuan guru dengan kenyataan tuan guru sendiri sehingga wujudnya Amanat Haji Hadi yang menentang Perlembagaan,” katanya mengulas catatan Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam Minda Presiden Pas.

Wan Mahussin berkata, UMNO hanya akan membunuh partinya sendiri jika bersama dengan Perikatan Nasional.

Ini kerana katanya, UMNO dan Pas adalah parti politik berteraskan Melayu, maka jika mereka bergabung bersama untuk “memancing” segmen pengundi yang sama, akan semakin sukar jalan untuk UMNO.

“Kalau UMNO bersama PN, UMNO sedang membunuh partinya sendiri. Sebab apa? Sebab pengundi dan penyokongnya datang daripada orang Melayu. Sama juga dengan Pas, pengundinya juga orang Melayu.

“Jadi kalau kita duduk di kolam yang sama, memancing tempat yang sama dan kita nak hasil yang sama itu sebenarnya membunuh parti Melayu itu sendiri.

“Jadi kepada tuan Presiden Pas, UMNO selamat tanpa menjalinkan kerjasama dengan Pas,” katanya lagi.

BACA JUGA Gempar SPRM sahkan dua kertas siasatan dibuka terhadap Sapura

Â