FOTO BERITA | Anwar seru pemimpin masyarakat perjelas kejayaan Kerajaan MADANI

FOTO BERITA: Majlis Berbuka Puasa MADANI 2025 YAB Perdana Menteri. Turut hadir YAB Dato’ Menteri Besar Selangor bersama-sama pimpinan masyarakat tempatan Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. 13hb Mac 2025 (Khamis)

SHAH ALAM, 13 Mac 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru pemimpin masyarakat agar membantu memperjelaskan dasar dan kejayaan kerajaan MADANI kepada rakyat serta tidak melayan persepsi negatif yang dimainkan oleh pihak tertentu, termasuk pembangkang.

Berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Pimpinan Masyarakat Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, beliau menegaskan bahawa lebih baik menumpukan kepada penerangan tentang kejayaan kerajaan, seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan kenaikan gaji penjawat awam, berbanding melayan tohmahan tidak berasas.

“Hampir semua rakyat mendapat STR dan bagi tahun 2025, kerajaan memperuntukkan RM13 bilion. Pelaburan serta ekonomi juga semakin baik, dan gaji penjawat awam telah kita tambah baik selepas 12 tahun tiada perubahan ketara,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, serta barisan Exco kerajaan negeri.

Dalam ucapannya, Anwar turut menasihati pimpinan kerajaan dan masyarakat agar tidak terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan dalam menyalurkan bantuan, sebaliknya menggunakan sumber sendiri.

“Sebagai pemimpin, kita harus berlumba-lumba melakukan kebaikan dengan menggunakan imbuhan yang kita terima. Jangan hanya mengharapkan peruntukan kerajaan, barulah kita benar-benar memahami makna Ramadan,” katanya.

Anwar turut menekankan kepentingan Ramadan dalam memperbaiki integriti dan moral dalam pentadbiran serta kehidupan seharian.

“Masih ada kebocoran, rasuah, penyelewengan, dan wang yang disimpan secara tidak sah. Ramadan sepatutnya mendidik kita untuk hidup dengan nilai yang betul,” ujarnya.

Beliau berharap nilai-nilai yang diterapkan sepanjang Ramadan dapat terus diamalkan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam memperkukuh tata kelola kerajaan MADAN

ISementara Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa pentadbiran Selangor komited dalam meneruskan agenda pembangunan negeri berlandaskan prinsip MADANI, yang menekankan keadilan sosial, kesejahteraan ekonomi, dan kemakmuran rakyat.

Beliau turut menyeru pemimpin tempatan untuk terus memainkan peranan dalam menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat serta membantu dalam menjayakan program-program pembangunan negeri.

