G57 Dedah Dakwaan Monopoli Industri Mineral Sabah

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Datuk Zulkarnain Mahdar Pengerusi Gerakkan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mengenai pendedahan salah dan serangan keatas Ketua Menteri Sabah & ADUN GRS di hadapan Bangunan SPRM Putrajaya. 13hb Mac 2025 (Khamis)

Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini mendedahkan bahawa pemberi maklumat, Datuk lbert Tei, didakwa cuba memonopoli industri cari gali mineral di Sabah dengan memiliki 13 lesen penerokaan sumber bumi atas nama individu.

Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar, mempersoalkan bagaimana Albert boleh memperoleh jumlah lesen yang begitu banyak, sedangkan secara normal hanya satu atau dua lesen sahaja boleh diluluskan.

“Albert cuba memohon sebanyak 25 lesen dan kini sudah mendapat 13 lesen, dipercayai melalui pemalsuan dokumen,” katanya dalam sidang media di luar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.

Beliau turut mengkritik bekas Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, serta sebuah portal berita yang mempertahankan Albert sebagai mangsa politik tanpa menyelidik dakwaan penyalahgunaan kuasanya.

Selain itu, Zulkarnain mendakwa Albert terlibat dalam percubaan menyogok Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sebanyak RM5 juta dalam tiga kejadian berasingan.

G57 turut menyerahkan dokumen berkaitan kepada SPRM untuk siasatan lanjut, termasuk mengenai penglibatan seorang bekas pegawai kanan polis Sabah dalam gerakan Albert.

“Kerajaan Negeri Sabah sebenarnya adalah mangsa dalam isu ini, tetapi pihak tertentu cuba menggambarkan sebaliknya,” tambahnya.