KL Sentral Jadi Pusat Perkhidmatan Digital: Kiosk Sentuhan MADANI Tarik Perhatian

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Peluncuran Kiosk Sentuhan MADAN oleh YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan di Pintu Masuk Utama, Stesen KL Sentral Kuala Lumpur Sentral, Kuala Lumpur. 13hb Mac 2025 (Khamis)

Kerajaan hari ini melancarkan Kiosk Sentuhan MADANI @ KL Sentral, sebuah inisiatif yang menawarkan lebih 100 perkhidmatan kerajaan dan swasta di hab transit terbesar negara. Pelancaran ini disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, YB Tuan Loke Siew Fook, bersama Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar.

Inisiatif ini, yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, bertujuan memudahkan rakyat mengakses perkhidmatan awam dengan waktu operasi yang lebih fleksibel. KL Sentral dipilih sebagai lokasi kedua selepas kejayaan pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI pertama di Alamanda Putrajaya.

Kiosk Sentuhan MADANI @ KL Sentral akan beroperasi dari 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, dengan penyertaan enam agensi utama, iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), MyDigital ID, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Pos Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Menurut YB Loke Siew Fook, pemilihan KL Sentral sebagai lokasi kedua adalah langkah strategik bagi memberikan akses yang lebih luas kepada rakyat, terutama mereka yang sering berulang-alik menggunakan pengangkutan awam.

“Kiosk ini memastikan rakyat dapat menguruskan urusan penting seperti perkhidmatan JPJ, KWSP, dan ASNB di luar waktu pejabat, sekaligus meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Shamsul Azri menegaskan bahawa Kiosk Sentuhan MADANI adalah sebahagian daripada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, yang telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan lebih 4,600 transaksi direkodkan di Alamanda Putrajaya pada Januari 2025.

Kerajaan turut mengumumkan bahawa Kiosk Sentuhan MADANI ketiga akan dibuka di Pusat Beli-Belah 1 Utama, Petaling Jaya, pada penghujung April 2025 dengan kerjasama pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut.

Kerjasama strategik ini melibatkan MRCB, TM One, dan Digital Nasional Berhad, yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan Ikhtiar Kiosk Sentuhan MADANI. Kerajaan berharap inisiatif ini akan memberikan impak positif kepada rakyat dalam mendapatkan perkhidmatan awam dengan lebih mudah dan efisien.