FOTO BERITA | MHO rayu segera selamatkan warga Malaysia dikurung di Kemboja

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Aatarabangsa Malaysia (MHO) berkenaan rayuan segera untuk bantuan menyelamatkan warga negara Malaysia di Cambodia, yang dikurung, disiksa, dipaksa menjadi skamer di Blok C, Mogen Avenue Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. 14hb Mac 2025

Badan bukan kerajaan (NGO), Malaysia International Humanitarian Organization (MHO), hari ini mengadakan sidang media mendesak tindakan segera daripada pihak berkuasa bagi menyelamatkan lima warga Malaysia yang dipercayai dikurung dan disiksa di Kemboja.

Sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook Harapandaily, kesemua mangsa dipaksa bekerja sebagai penipu dalam sindiket ‘scammer’ dan mengalami penderaan fizikal serta mental yang serius.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim menegaskan bahawa pihaknya telah menerima laporan daripada keluarga mangsa yang merayu bantuan segera untuk membawa pulang kesemua individu terbabit.

“Kami menyeru kerajaan Malaysia, termasuk Wisma Putra dan pihak berkuasa berkaitan, agar segera berunding dengan kerajaan Kemboja untuk menyelamatkan mangsa yang kini berada dalam keadaan bahaya,” katanya dalam sidang media tersebut.

Menurut MHO, kes pemerdagangan manusia yang melibatkan rakyat Malaysia semakin meningkat, dengan banyak kes membabitkan sindiket penipuan antarabangsa. Organisasi itu turut menggesa tindakan lebih tegas untuk membanteras jaringan penjenayah yang merekrut mangsa melalui tawaran pekerjaan palsu.

Sidang media ini turut disertai oleh ahli keluarga mangsa yang tampil meluahkan kebimbangan mereka serta memohon bantuan segera daripada pihak berkuasa dan masyarakat.

MHO berjanji akan terus mendesak tindakan segera bagi memastikan kelima-lima mangsa dapat dibawa pulang dengan selamat secepat mungkin.