UMNO buka mulut dakwaan 14 MP bakal ‘melompat’
Sejak minggu lalu tersebar di media sosial mengenai dakwaan 14 Ahli Parlimen UMNO sedang merancang menarik sokongan dari Kerajaan MADANI.
Susulan itu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias menafikan perkara itu, menegaskan bahawa ia adalah cerita tidak benar yang saban tahun dimainkan pihak tertentu.
“Tak betul dan tak benar, saya pun tidak dengar apa-apa mengenai dakwaan itu,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menegaskan ahli UMNO sudah terikat dengan perjanjian dan akujanji bon RM100 juta.
“Perlembagaan UMNO sudah dipinda pada 13 Januari 2023 bagi menghalang Ahli Parlimen parti bertindak membelakangi apa juga keputusan termasuk menyertai pakatan politik untuk menyokong seseorang sebagai Perdana Menteri.
“Ini termasuklah menandatangani perjanjian untuk membentuk pakatan dengan parti lawan sekali gus bertentangan dengan pendirian parti,” katanya semalam.
Terdahulu, desas desus ‘penghijrahan’ ahli UMNO mula disebarkan akaun telegram Edisi Siasat yang mendakwa kesemua wakil rakyat itu sudah bersetuju dan akan tampil tanpa apa-apa paksaan ataupun imbuhan.
 Bagaimanapun, tiada konteks lanjut dikongsikan. Dakwaan itu dipercayai hanya sekadar rekaan untuk menaikkan semangat penyokong.
BACA JUGA Hari itu dapat RM830k bagi kepada DAP, kata pembaca kepada usaha Pas buka ‘Tabung Milo’