Ini sebabnya PM sebut Revolusi Perancis dalam Kongres DAP
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut mengenai Revolusi Perancis 1789 ketika berucap pada Kongres parti DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di Shah Alam hari ini.
Beliau menegaskan revolusi tersebut gagal akibat beberapa pemimpin negara berkenaan bertelagah mengenai perkara apa yang hendak diubah sehingga mengabaikan golongan miskin.
Mengambil contoh peristiwa yang membawa kepada kejatuhan monarki serta pembentukan republik Perancis itu, Anwar berkata, semua reformasi kerajaan dan institusi Parlimen yang dirancang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dilaksanakan secara berhati-hati dan berhemah.
Menurutnya, hal itu perlu dilakukan dengan cara tersebut supaya segala perancangan reformasi itu dapat diterima semua pihak, tanpa mengira kaum dan agama.
“(Dalam agenda reformasi yang dirancang) ada yang takut reformasi ini dibuat kerana ia akan merugikan kaum mereka.
“Sekiranya ia dilakukan secara mendadak, ia akan menyebabkan kejatuhan sesebuah kerajaan dan lebih membimbangkan nasib kumpulan rakyat tidak terbela,” ujarnya.
Namun, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau tidak mahu menjadikan peristiwa tersebut sebagai alasan sesebuah perubahan tidak boleh dibuat.
“Misalnya, kami gubal Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan bagi memastikan dasar perolehan dan tender kerajaan mesti ikut proses yang betul.
“Kami juga pinda Akta Perkhidmatan Parlimen (yang telah dimansuhkan 33 tahun lalu) untuk memberi kebebasan kepada Parlimen walaupun pihak pembangkang membantah dengan cara ambil pendirian berkecuali,” kata Perdana Menteri lagi.
Kongres Kebangsaan DAP ke-18 tahun ini bagi memilih Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti tersebut termasuk Setiausaha Agung baharu.
Seramai 70 calon bakal berentap merebut 30 tempat dalam jawatankuasa berkenaan.
Sebanyak 4,203 perwakilan dari 1,650 cawangan layak mengundi pada pemilihan bagi memilih barisan kepimpinan DAP untuk penggal 2025 hingga 2028.
BACA JUGA Terengganu akan jadi paling untung sebab CCUS? Ini sebabnya