Selepas Jakim tegur babak melampau ‘Bidaah’, akhirnya Erma Fatima akur

Susulan teguran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), penerbit drama bersiri Bidaah, Erma Fatima akur dengan penegasan pihak berkuasa agama itu yang memintanya memotong dua adegan drama yang dikesan tidak sesuai untuk tontonan masyarakat.

Erma mengaku kekhilafannya yang memaparkan dua adegan kontroversi hingga mencetuskan perdebatan orang ramai di media sosial.

“Selepas JAKIM meneliti keseluruhan jalan cerita drama bersiri ini, mereka meminta saya memotong dua adegan disifatkan sensitif iaitu babak Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul menyentuh janggut Faizal Hussein sebagai Walid menggunakan kakinya.

“Satu lagi JAKIM minta saya mengurangkan adegan Fazlina Ahmad Daud meminum air basuhan dan mencium kaki Faizal dalam drama ini,” dipetik Harian Metro.

Menurutnya, beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana JAKIM begitu rasional, selain memahami keseluruhan intipati drama ini.

“Dalam masa sama, saya mengaku kesilapan saya apabila dua adegan ditonjolkan ini agak melampaui batas.

“Jika drama ini keterlaluan sudah pasti JAKIM menyenarai hitam. Cuma, kadang-kadang saya tertanya-tanya kenapa karya saya selalu mendapat kritikan, sedangkan banyak drama atau filem yang menceritakan kisah ajaran sesat,” katanya.

Dalam masa sama, Erma menegaskan setiap adegan ‘Bidaah’ yang dipaparkan tiada kaitan langsung dengan mana-mana individu yang hidup atau sudah meninggal dunia.

“Apa yang saya tonjolkan hanya menceritakan golongan yang selama ini menutup aurat dan alim, tapi hakikatnya penunggang agama. Mereka menggunakan pakaian untuk buat orang taksub dan percaya dengan ajarannya,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, JAKIM memberitahu penerbit drama Bidaah akur dengan teguran mereka dan bersedia memotong mana-mana adegan tidak sesuai untuk tontonan masyarakat di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, pihaknya menerusi Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam sudah memanggil dan mengadakan pertemuan dengan penerbit Bidaah.

Jelasnya, JAKIM telah meneliti kandungan drama merangkumi klip video episod yang mencetuskan kontroversi dan episod belum ditayangkan untuk menilai kesan serta implikasi kandungan.

BACA JUGA Terengganu akan jadi paling untung sebab CCUS? Ini sebabnya