Semak tauliah mengajar guru pukul remaja sampai retak tulang batang hidung

Exco Hal Ehwal Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diarah untuk menarik balik serta-merta tauliah dan mengharam daripada mengajar agama di negeri itu jika individu yang memukul seorang pelajar merupakan seorang agamawan berdaftar.

“Sekiranya benar agamawan atau guru ini adalah pemegang tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), maka, tauliah ini wajar ditarik balik serta-merta dan individu ini perlu diharamkan daripada mengajar agama di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun dilapor telah ditahan selepas memukul seorang pelajar sekolah menengah dalam satu perselisihan faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian, Kajang, 14 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan pelajar lelaki terbabit berusia 17 tahun jam 9.24 malam yang memaklumkan dipukul suspek kira-kira pukul 2.15 petang.

Menurut Naazron, mangsa mengalami kecederaan retak tulang batang hidung akibat dipukul dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.

Dalam masa sama, Fahmi turut menyeru semua agamawan dan guru yang telah diberikan tauliah mengajar MAIS di Selangor agar sentiasa menjaga kemuliaan agama Islam.

“Mereka perlu menjauhi segala tindakan ganas yang boleh merosakkan imej kesederhanaan pada para agamawan ataupun guru.

“Segala tindakan haruslah berdasarkan akhlak mulia, pertimbangan yang rasional, serta mengikut asas perundangan yang berkuatkuasa,” kata Fahmi lagi.

BACA JUGA Kisah pelaburan tragik PNB dalam Sapura Energy Bhd