Coretan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat pada Kongres Kebangsaan DAP 2025

OLEH WAN HAMIDI HAMID

GEN 3

Jika hal-hal biasa isu politik seperti kaum dan agama diketepikan seketika, keputusan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP boleh dilihat sebagai memenuhi aspirasi Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, yang mahu membina kepimpinan Generasi Ketiga (Gen 3).

(Generasi Pertama diwakili Lim Kit Siang dan para mendiang Dr Chen Man Hin, Karpal Singh, P. Patto, Fan Yew Teng. Generasi Kedua adalah generasi Lim Guan Eng, M. Kula Segaran, Tan Kok Wai, Fong Kui Lun, mendiang Kerk Kim Hock, allahyarham Fadzlan Yahya).

Dari segi pengundian, boleh dikatakan calon-calon “selamat” – yang dilihat tidak terlalu agresif menyokong mana-mana fraksi, dan boleh menerima mana-mana pemimpin daripada kumpulan berbeza, serta ada antara mereka yang sangat rajin menghasilkan dan mempromosikan kandungan media sosial masing-masing – mendapat sokongan majoriti para wakil, tua dan muda, lelaki dan wanita.

Calon-calon ini mendapat undi terbanyak daripada “dua kolam” (fraksi-fraksi berbeza) – walaupun ada segolongan masyarakat Cina Malaysia masih percaya bahawa sesiapa yang minum air daripada kedua-dua kolam akan ditolak oleh kesemua kolam, dan terbukti kepercayaan itu tidak berlaku pada pemilihan CEC ini.

Lima calon yang teratas ini adalah Gobind Singh, Chong Chieng Jen (Sarawak), Teo Nie Ching (Ketua Wanita), Ng Suee Lim (Exco Selangor), dan Anthony Loke sendiri. Dan selayaknya Gobind dipilih sebagai Pengerusi DAP.

WANITA

Gabungan sokongan wakil-wakil daripada “dua kolam” – sekali lagi, tua dan muda, lelaki dan wanita – juga membolehkan calon-calon wanita mendapat banyak undi. Mereka yang menang adalah Nie Ching, Yeo Bee Yin, Vivian Wong, Hannah Yeoh, Alice Lau, Liow Cai Tung, Young Syefura Othman, Kasturi Patto, dan Wong ShuQi. Sembilan kesemuanya, tanpa perlu mendapat saguhati “lantikan” untuk memenuhi kuota wanita. Ini merupakan keputusan yang berani dan bersejarah daripada para wakil DAP.

GUAN ENG

Keputusan pemilihan ini juga mencerminkan berakhirnya era kepimpinan Lim Guan Eng. Walaupun berkempen tanpa henti, para wakil telah memberi isyarat yang jelas. Beliau masih berjaya kekal dalam CEC, namun kedudukannya di tangga 26 daripada 30 pemenang bukan sesuatu yang boleh diraikannya sebagai tokoh yang banyak berjasa kepada parti suatu ketika dulu.

Apapun, dengan jawatan barunya sebagai Penasihat Parti, semoga beliau dapat memupuk bakat barisan baru Gen 3 ini di samping memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Setiausaha Agung.

PARTI DALAM KERAJAAN

Ya, lah, dah duduk dalam kerajaan, terpaksalah kurangkan menjerit-jerit macam pembangkang dulu. Asalkan DAP dapat memenuhi janji-janji yang membolehkan undi diperolehi sewaktu pilihan raya dulu, sudah cukup untuk melegakan hati pengundi. Dan apabila timbul masalah, kurangkanlah sikap suka bagi alasan, dalih dan dalil. Buat benda elok-elok, tidak mustahil boleh kekal jadi kerajaan untuk 10 tahun lagi, dengan atau tanpa “term limit” untuk Perdana Menteri.


WAN HAMIDI HAMID ialah pengasas Roketkini dan ahli DAP.