Wanita Beraspirasi, Membina Legasi – Anfaal

FOTO BERITA: Sambutan Hari Wanita Sedunia 2025 Peringkat Negeri Selangor dan Majlis Berbuka Puasa bersama Ibu Tunggal serta Anak Yatim. Majlis dihadiri oleh YB Anfaal Saari Exco Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Selangor di Ideal Convention Centre Selayang (IDCC Selayang Selangor. 16hb Mac 2025 (Ahad)

Sambutan Hari Wanita Sedunia 2025 di Selangor diraikan dengan penuh semangat dan solidariti, mengangkat tema “Wanita Beraspirasi, Membina Legasi.” Majlis yang berlangsung di peringkat negeri ini memberi penghormatan kepada peranan serta sumbangan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk keluarga, ekonomi, dan masyarakat.

Dalam ucapannya, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat menegaskan bahawa peranan wanita sering kali terselindung di sebalik tabir dan kurang dihargai, sedangkan mereka memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga dan masyarakat. “Menjadi wanita sering kali disifatkan sebagai sebuah ‘thankless job’ – pekerjaan yang jarang dihargai. Beban kerja rumah dan tanggungjawab penjagaan masih cenderung dianggap sebagai tanggungjawab wanita, walaupun ia sebenarnya adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu jurang penyertaan wanita dalam pasaran buruh yang masih rendah, sekitar 56.2%, jauh lebih rendah berbanding lelaki. Fenomena ini, katanya, berpunca daripada ketidakseimbangan dalam pembahagian tanggungjawab rumah tangga serta “motherhood penalty” yang menyebabkan ramai wanita memperlahankan kerjaya atau berhenti kerja selepas melahirkan anak.

Dalam majlis ini, golongan ibu tunggal turut diberikan penghormatan sebagai wira sebenar masyarakat. “Membesarkan anak di bandar besar seperti Selangor dan Kuala Lumpur adalah tugas yang berat, lebih-lebih lagi tanpa pasangan. Wanita-wanita hebat inilah yang sepatutnya kita raikan dan sokong,” ujarnya.

Sambutan ini turut disertai oleh anak-anak yatim, dengan mesej bahawa masyarakat perlu memainkan peranan sebagai keluarga kepada mereka yang kehilangan ibu bapa. “Sebuah tamadun yang berjaya bermula dengan wanita-wanita yang berjaya. Kerana tangan yang menghayun buaian inilah yang membentuk generasi masa depan,” katanya.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyeru agar semua wanita terus melangkah dengan keberanian dan tekad dalam membina legasi mereka. “Selamat Hari Wanita Sedunia 2025! Setiap langkah yang kita ambil hari ini akan membuka jalan dan memberi inspirasi kepada generasi masa depan.”

Majlis ini turut disusuli dengan sesi berbuka puasa bersama ibu tunggal dan anak-anak yatim dan pemberian duit raya dan juga bakuk makanan sebagai simbol kebersamaan dan sokongan terhadap mereka yang memerlukan.