Melampau! Kerajaan gesa polis, SKMM siasat segera individu hina Nabi Muhammad

Kerajaan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat segera satu komen yang didakwa menghina Nabi Muhammad.

Komen melampau itu dibuat pengguna Facebook menggunakan akaun Khor Soon Keat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, komen yang dikeluarkan individu itu sama sekali tidak boleh diterima dan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang cuba menimbulkan perpecahan atau ketegangan antara kaum dan agama.

“Saya ingin memberi amaran dengan tegas bahawa sebarang kenyataan atau tindakan yang menyentuh sensitiviti agama lain akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi oleh pihak penguatkuasa.

“Tindakan menghina mana-mana agama bukan sahaja mencabuli prinsip keharmonian dan perpaduan negara, tetapi juga boleh mengundang akibat yang sangat serius kepada keamanan dan ketenteraman awam.

“Saya ingin mengingatkan bahawa tiada ruang untuk sebarang bentuk kebencian atau provokasi agama di negara ini,” tegasnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Beliau bekata, setiap warganegara Malaysia wajib faham, hormat dan menerima kepelbagaian yang ada.

Terdahulu, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mendedahkan satu komen yang didakwa menghina Nabi Muhammad.

Dia menggesa agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti adakah individu itu adalah kakitangan kementerian itu kerana profil individu itu mengatakan dia bekerja dengan KKM.

BACA JUGA Dari B40 kepada M40, peserta IPR berjaya jana antara RM2,000 hingga RM6,000 sebulan