Pandangan Presiden Pas hadkan PM 10 tahun ditolak oleh bekas Imam Masjid Rusila

Pandangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menolak cadangan untuk mengehadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun sahaja ditolak.

Ini kerana, amalan khalifah Islam yang memegang jawatan hingga meninggal dunia bukannya hadis atau ayat al Quran yang tidak boleh dipertikaikan.

“Walaupun begitu (sejarahnya) tapi itu bukan ketetapan dari Quran atau Hadis.

“Khalifah dan pemerintahan bukan ketetapan seperti solat, puasa.

“Politik adalah ijtihad dan maslahat umum,” kata Ustaz Zuliadin Muhamad, bekas imam Masjid Rusila yang tidak bersetuju dengan pandangan Presiden Pas itu.

Bagi beliau, hukum politik boleh berubah dan kena berubah mengikut maslahat negara.

“Suruh Haji Hadi bawa dalil Quran Hadis yang larang… hukum duduk di situ.

“Apa yang belaku dulu reality masa tu, bukan ketetapan hukum,” kata beliau mengulas tindakan Hadi menolak cadangan menetapkan had dua penggal atau 10 tahun untuk sesaorang memegang jawatan perdana menteri.

Hadi dalam tulisannya menerusi Minda Presiden Pas berkata, apabila DAP mencadangkan had tempoh sepuluh tahun bagi jawatan perdana menteri, tiba-tiba ramai yang berlumba-lumba memberikan sambutan positif.

“Mereka seolah-olah melupakan, jahil atau tidak mempedulikan dasar yang lebih penting bagi mencapai wawasan dunia dan akhirat yang kekal mengikut ketetapan Allah yang mewajibkan Islam memimpin negara.

“Hal ini demikian kerana, tanggungjawab tersebut merupakan amanah yang besar daripada Allah.

“Bukan sekadar membahagikan jawatan atau memberikan kerja dalam tempoh tertentu kepada seseorang untuk meni‘mati jawatan, kemudian digilirkan kepada seseorang yang lain untuk mengambil kesempatan juga,” katanya.

Sepanjang sejarah, kata Hadi, semua khalifah Islam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin sehingga akhir hayat mereka.

“Allah telah menetapkan bahawa para anbiya’ yang membawa ajaran Islam, juga berperanan sebagai pemimpin.

“Selepas kewafatan mereka, tugas itu digantikan oleh golongan yang meneruskan ajaran para anbiya’,” tulis beliau menerusi facebooknya.

BACA JUGA Presiden Pas tolak tempoh PM 10 tahun sahaja, mahu sepanjang hayat