Serangan terkini di Gaza bukti Israel, AS langgar genjatan senjata
Pemuda AMANAH Nasional mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang melanggar genjatan senjata dan meneruskan serangan kejam terhadap rakyat Palestin.
Pengerusi Biro Antarabangsanya, Mus’ab Muzahar berkata, serangan udara dan bedilan artileri terkini itu jelas menunjukkan genjatan senjata sudah berakhir akibat dilanggar oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) sendiri, yang langsung tidak berniat untuk menghormati sebarang perjanjian damai.
“Pemuda AMANAH juga mengecam sokongan terbuka Amerika Syarikat di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump yang terus membiayai serta mempertahankan tindakan Israel di pentas antarabangsa.
“Sokongan ini bukan sahaja bersubahat dalam pembunuhan orang awam Palestin tetapi juga menjadi penghalang kepada sebarang usaha damai,” katanya menurut kenyataan hari ini.
Semalam, pengganas Israel melakukan serangan besar-besaran di beberapa lokasi, termasuk utara Gaza, Gaza City dan Deir al-Balah, Khan Younis dan tengah Rafah dan selatan Gaza.
Mengulas lanjut, Mus’ab berkata, dunia tidak boleh terus menjadi pemerhati bisu sebaliknya sudah tiba masanya untuk membuktikan nilai kemanusiaan benar-benar dijunjung.
“Kita juga tidak boleh hanya berharap pada tekanan diplomatik semata-mata, masyarakat global perlu bertindak dengan cara yang nyata, termasuk terus memboikot syarikat yang menyokong genosid ini dan mendukung usaha pembebasan Palestin dengan segala cara yang ada,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau memuji sikap pejuang pembebasan Palestin yang telah menunjukkan komitmen dalam menjaga tebusan Israel dengan baik, seperti terbukti dalam pelbagai rakaman dan footage yang tersebar.
“Para tebusan dilayan dengan berperikemanusiaan, diberikan makanan dan rawatan, jauh berbeza dengan kekejaman Israel yang sering meletakkan rakyat mereka sendiri dalam bahaya demi justifikasi serangan,” katanya lagi.
BACA JUGA Presiden Pas tolak tempoh PM 10 tahun sahaja, mahu sepanjang hayat