Ulama Pas jawab berita Harapandaily isu dapat PhD

Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak Pas Pusat, Mokhtar Senik ‘menjawab’ satu laporan berita Harapandaily mengenai isu ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari universiti di Indonesia.

Bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pahang itu menggelarkan pihak yang menempelaknya berkenaan isu tersebut sebagai ‘komunis’.

Dia dilihat mewakili sekumpulan ‘geng’ ulama Pas yang memperoleh PhD dari universiti kedudukan ke-3,880 di dunia itu.

“Makhluk ternakan komunis jadi panas. Maaf ye.. Kami mahu pengiktirafan universiti je..

“Kami tak perlu pengiktirafan warga FB dan penganut tegar komunisme. Maaf ye, kami tak layan lidah hanyir dan busuk hati,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Reaksi Mokhtar itu susulan laporan Harapandaily mengenai sekumpulan ulama Pas yang diuar-uarkan telah memperoleh PhD dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau di Indonesia.

Selain Mokhtar Senik, 11 lagi rakannya mendapat PhD termasuk ‘geng’ NGO Geng Ustaz (GU) seperti Ahmad Dusuki Abdul Rani dan Nik Bakri Nik Mat.

Mokhtar turut berkongsikan poster ucapan tahniah kesemua mereka terbabit didahului dirinya sendiri yang lengkap berpakaian istiadat konvokesyen.

Pemimpin Pas berkenaan memberitahu mereka mengambil tempoh hampir satu dekad untuk dianugerahkan PhD.

“Allah hadiahkan pemberian-Nya pada bulan Ramadhan 1446. Tidak sedikit kepayahan kami 12 orang lalui. Namun, semuanya sangat indah. Yang paling indah ialah ukhuwah,” katanya.

Berhubung soalan salah seorang warganet berkenaan ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana, Mokhtar menjawab kedua-dua ijazah itu diperolehnya dari universiti sama.

Rata-rata meluahkan rasa tidak percaya selain mempersoal penarafan universiti tersebut yang berada di kedudukan ke-66 terbaik di Indonesia, tangga ke-1,318 di Asia dan tempat ke-3,880 di dunia.

“Orang lain masuk universiti yang ada penarafan tinggi, diperaku pensijilan dan MQA (Agensi Kelayakan Malaysia), ada sistem merit yang jelas, terlibat dengan kerja kajian dan kupasan, terbit jurnal sana sini, bentang keras kerja dan masuk viva sebelum diperaku kajian dan dianugerahkan dengan sekeping keras bertaraf PhD. Ini apa?” bidas warganet.

BACA JUGA Presiden Pas tolak tempoh PM 10 tahun sahaja, mahu sepanjang hayat