Datuk Bandar KL jamin akan jadi pemudahcara pemindahan kuil

Datuk Bandar Kuala Lumpur memberi jaminan akan membantu mencari jalan dalam isu pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, pihaknya akan memastikan pemindahan dilakukan secara telus selepas berbincang dengan pihak berkepentingan.

Beliau juga memberi jaminan tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan struktur kuil berkenaan.

Buat masa ini kata beliau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah pun mengenal pasti lokasi baharu pemindahan rumah ibadat terlibat bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni.

Mengenai cadangan membina masjid di tanah itu, Maimunah berkata ia bukanlah cadangan kerajaan, sebaliknya merupakan cadangan sebuah syarikat swasta yang juga pemilik tanah yang sah.

Pun begitu katanya, DBKL telah diamanahkan oleh kerajaan untuk mencari jalan terbaik buat semua pihak terlibat sekaligus mengelakkan diskriminasi terhadap mana-mana kaum.

“(Cadangan pembinaan masjid) bukan daripada kerajaan. DBKL selaku pihak yang diamanahkan oleh kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk tampil membantu, mencari jalan terbaik buat semua pihak terlibat dan secara tidak langsung mengelakkan diskriminasi terhadap mana-mana kaum,” katanya dalam sidang media hari ini.

BACA JUGA Persoalan sama ada Syed Saddiq ke penjara atau dibebaskan bakal terjawab