Pas setuju hadkan tempoh perkhidmatan PM kepada dua penggal 26 tahun dahulu, DAP ingatkan Hadi

Naib pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali membidas kritikan presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkenaan cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan PM kepada dua penggal yang telah dibangkitkan semasa Kongres Kebangsaan DAP baru-baru ini.

Beliau menjelaskan bahawa Pas telah bersetuju dengan cadangan tersebut 26 tahun dahulu.

“Saya minta supaya Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang mengingat kembali sejarah Pas pada 26 tahun lalu. Pas yang bersekutu membentuk gagasan Barisan Alternatif (BA) bersama-sama DAP, Parti Keadilan Nasional dan PRM ketika itu telah mencadangkan idea serupa menjelang PRU 1999.

“Menjengah PRU 2004 pula, PAS dan PKR (setelah Parti KeADILan bergabung dengan PRM) telah sekali lagi membuat cadangan yang sama. Untuk rekod, mari saya ingatkan Hadi juga bahawa pada PRU 2004 hanya ada gabungan PAS dan PKR sahaja. Ini kerana DAP ambil keputusan meninggalkan BA di penghujung 2001.

“Maksud saya, semasa mengulangi cadangan menghadkan tempoh PM menjelang PRU 2004, ia adalah keputusan gabungan dua parti iaitu PAS dan PKR; TANPA DAP!

“Dalam dua momen bersejarah tersebut, tidak timbul segala macam alasan sepertimana dibangkitkan Hadi semalam.

“Jadi, apa yang dikemukakan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dalam kongres parti baru-baru ini sebenarnya bukanlah perkara baharu. Ia turut pernah menjadi dukungan PAS pada PRU 1999 dan 2004.

Hadi turut dinasihatkan mencermin diri dan tidak menggunakan dalil untuk kepentingan peribadi.

“Saya nasihatkan Hadi, cerminlah ke muka sendiri. Tidak elok menggunakan dalil-dalil demi kepentingan politik peribadi. Semasa mahu, anda berdiam diri.

“Apabila tidak mahu, seribu satu dalil dicari dan digali. Ini bukan sifat politik matang dan sejahtera seperti dilaungkan PAS.

“Bagi saya, tak perlu bersusah payah untuk menjawab tulisan Hadi lagi. Sebaliknya, Hadi lah yang perlu ‘melawan lupa’ terhadap sikapnya yang diambil 26 tahun dulu.

Cadangan awal tersebut telah dibincangkan di peringkat di peringkat Jemaah Menteri.

BACA JUGA: Seru penyokong tukar alamat mengundi, MP anggap Pas makin terdesak